Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KATA MP | Kemarahan tercetus ini bukanlah tidak wajar

KATA MP | Isu stoking yang mengundang kontroversi telah mendominasi tajuk utama negara sejak minggu lalu.

Seperti saudara Islam yang lain, saya amat terkejut dengan amalan perniagaan KK Super Mart yang mengundang persoalan setelah menjual stoking yang mengandungi kalimah Allah.

Di negara majmuk seperti Malaysia, tindakan sebegitu jelas menyinggung perasaan umat Islam dan boleh menggugat keharmonian negara dengan teruk.

Sejak isu ini tercetus, pihak tertentu telah menggunakan media sosial untuk membela mereka yang bertanggungjawab sama ada pemilik rangkaian kedai serbaneka itu atau pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Saya terpaksa mengingatkan kepada provokator bahawa isu ini bukan isu Melayu. Ia bukan isu perkauman dalam apa jua bentuk.

Ia juga bukan isu partisan, sama ada dari Umno, MCA, DAP, PN atau PH.

Dengan jelas, ini adalah isu agama. Mencetak kalimah suci Allah pada stoking secara langsung menghina umat Islam di mana sahaja. Ia mencemarkan kepercayaan utama lebih daripada 1.5 bilion umat Islam.

Gelombang rasa tidak puas hati dan kemarahan yang tercetus ketika ini bukanlah sesuatu yang tidak wajar.

Sebagai umat Islam yang taat kepada agama, adalah menjadi kewajipan untuk memelihara dan melindungi agama dalam apa jua cara sekalipun.

Mohamad Hasan

Mungkin akan ada yang menganggap reaksi kepada isu ini sebagai melampau. Saya percaya perkara yang sama turut akan terjadi kepada penganut agama apa sekalipun, sama ada Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Konfusianisme, Tao, Sikh, dan lain-lain.

Apabila ada yang menjentik kepercayaan yang dianuti seseorang, mereka juga akan melakukan apa yang perlu bagi mempertahankan kepercayaan masing-masing.

Walaupun masih belum dapat dibuktikan sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara berniat jahat atau kerana kejahilan di pihak mereka, apa pun, mereka tetap melakukan kesalahan.

Berada di persimpangan

Jika pelaku dibuktikan bersalah kelak, saya pasti bahawa prosiding undang-undang boleh menentukan hukuman yang sesuai untuk provokator.

Ia akan menyediakan satu bentuk pencegahan dan tindakan yang tegas demi perpaduan agama.

Sekiranya pelaku terbukti tidak cakna akan kesan daripada tindakan mereka, maka kita mesti mengambil langkah yang tuntas untuk memastikan agar kejadian ini tidak akan berulang lagi.

Tetapi bagaimana kita mampu melakukannya?

Jawapannya adalah dengan menggalakkan peningkatan toleransi beragama.

Ini memerlukan pemupukan sifat saling hormat-menghormati, persefahaman, dan penerimaan dalam kalangan penganut agama yang lain. Terdapat garis merah yang perlu sentiasa diperhatikan dan dihormati.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha ini, kerana ia melengkapkan individu dengan pengetahuan dan empati yang diperlukan untuk menghargai kepelbagaian agama.

Pemeliharaan keharmonian beragama menjadi tonggak kestabilan dan kemajuan masyarakat.

Kepentingan untuk menjaga keharmonian ini usahlah dipertikaikan kerana ia bukan sahaja memastikan kewujudan bersama secara aman, tetapi juga memupuk rasa perpaduan dan kekuatan kolektif di kalangan rakyat Malaysia.

Negara kita berada pada satu persimpangan yang penting apabila perpaduan bukan hanya satu kebaikan, tetapi keperluan strategik.

Dengan bersatu hati sesama kita sebagai warganegara, mengatasi jurang agama, etnik dan budaya, kita pastinya dapat memanfaatkan kekuatan kolektif tanah air ini.


MOHAMAD HASAN ialah Timbalan Presiden Umno merangkap ahli parlimen Rembau.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.