Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Petisyen cabar enakmen syariah adalah isu perlembagaan

ULASAN | Dua wanita Melayu dan Islam - Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman - telah memfailkan permohonan/petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keperlembagaan (constitutionality) 20 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Intipati utama permohonan mereka berdua adalah meminta Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah sivil membatalkan 20 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa apabila menjenayahkan 20 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mungkin ada yang musykil kenapa mereka berdua memfailkan permohonan di mahkamah sivil, khususnya di Mahkamah Persekutuan, dan tidak di mahkamah syariah. Saya akan jelaskan sebabnya.

Pertama, itulah prosedur yang betul bagi mencabar isu bidang kuasa badan legislatif sama ada DUN atau Parlimen untuk menggubal undang- undang. Petisyen seperti itu hanya boleh difailkan di Mahkamah Persekutuan. Malah tidak boleh difailkan di mana-mana mahkamah sivil selain Mahkamah Persekutuan, jauh sekali di mahkamah syariah.

Mengapa begitu? Itulah sifirnya atau orang Indonesia kata "aturan mainnya". Dengan lain perkataan, itulah kehendak undang-undang atau Perlembagaan dalam negara ini, sekurang-kurangnya kurang setakat ini.

Kedua, dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara ini, bidang kuasa sama ada Parlimen atau DUN untuk gubal undang-undang dibatasi dengan sempadan tertentu.

Maka kedua-dua badan legislatif tersebut tidak dibenarkan melepasi sempadan tersebut. Jika sempadan itu dilanggar, maka Mahkamah Persekutuan boleh mengisytiharkan akta mahupun enakmen tersebut terbatal.

Kes di Melaka

Semasa saya menjadi peguam dahulu, saya pernah diminta oleh sahabat baik saya arwah Haji Mohd Buruk untuk membantunya menjadi peguam utama mewakili seorang ahli Pas yang juga pengusaha Pasti di Melaka yang telah didakwa di mahkamah majistret.

Dia telah mencabar kesahihan pendakwaan itu di Mahkamah Tinggi Melaka atas alasan pendakwaan ke atasnya tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana ia sewajarnya dilakukan di mahkamah syariah kerana kaitan dengan Islam.


PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan


Dipendekkan cerita, permohonan anak guam saya tersebut pada awalnya didengar di Mahkamah Tinggi Melaka dan oleh kerana semasa pendengaran timbul isu bidang kuasa DUN Melaka untuk menggubal undang-undang berkaitan isu pendidikan, maka hakim memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pihak kami sejak awal tidak memfailkan kes itu di Mahkamah Persekutuan kerana berpendapat DUN Melaka mempunyai bidang kuasa kerana ia menggubal undang-undang yang menurut peguam perlembagaan sebagai "in pith and substance" (secara intipati) berkaitan isu agama, meskipun ia juga boleh dihujahkan menyentuh isu pendidikan prasekolah .

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid

Jika ia menyentuh isu pendidikan per se, sudah tentu DUN Melaka tidak ada bidang kuasa tetapi saya pada masa itu menyatakan ia bukan sekadar menyentuh isu pendidikan, sebaliknya turut menyentuh isu pendidikan Islam.

Justeru itu, saya hujahkan DUN Melaka mempunyai bidang kuasa untuk gubal undang-undang yang digunakan untuk mendakwa anak guam kami.

Meskipun hakim Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan anak guam saya untuk mencabar kesahihan pendakwaaan tetapi yang agak lucunya mahkamah sendiri ragu sama ada ia memiliki bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes berkaitan bidang kuasa DUN Melaka untuk menggubal undang-undang yang digunakan untuk mendakwa anak guam kami.

Akhirnya, kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan oleh pihak hakim sendiri.

Bagaimanapun, pendengaran di Mahkamah Persekutuan tidak dapat diteruskan sebab anak guam saya meninggal dunia sebelum kes itu sempat didengar di Mahkamah Persekutuan.

Hujah Tuan Ibrahim simplistik

Secara asasnya, kes yang difailkan oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin hampir sama seperti kes yang saya kendalikan di Melaka itu. Bezanya dua wanita itu mencabar keperlembagaan 20 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya. Kes di Melaka pula melibatkan isu bidang kuasa DUN yang melibatkan isu pendidikan Islam di prasekolah.

Bagi saya isu seperti ini tidak straight foward.

Kedua-dua wanita tersebut mungkin melihat 20 kesalahan itu sebagai kesalahan jenayah yang patutnya di bawah bidang kuasa Persekutuan. Bagaimanapun mungkin juga ada pihak lain melihatnya termasuk dalam perundangan takzir, lalu ia di bawah bidang kuasa DUN Kelantan.

Kini PN mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan bagi membantah petisyen mereka. Bagi saya itu hak demokratik PN selagi mana ia adalah bantahan yang aman.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula mendakwa petisyen itu membawa kesan besar kerana jika dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan, ia boleh menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus dan dia juga berpendapat isu tersebut ada kaitan dengan isu akidah, maka PAS tidak boleh berkompromi.

Dengan hormat saya berpendapat itu hujah yang begitu simplistik.

Media juga melaporkan bahawa Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan cubaan membatalkan undang-undang Islam sama seperti cuba membatalkan al-Quran dan hadis.

Meskipun saya ada pendapat saya sendiri mengenai kekuatan merit petisyen tersebut, saya bagaimanapun, dengah hormat, tidak setuju dengan pendapat yang menyatakan ia melibatkan akidah jauh, sekali dakwaan yang mengatakan ia adalah cubaan membatalkan undang-undang Islam.

Bagi saya kenyataaan sebegitu lebih bersifat emosi dan populis berbanding bersandarkan hujah dan keterangan yang kukuh. Bagi saya, sekuat mana pun kita mungkin ingin membantahnya, kita juga harus adil semasa membantahnya (lihat ayat 8 surah al-Maidah dalam Al-Quran).

Dengan hormat, saya melihat petisyen ini tidak lebih dari isu perlembagaan semata-mata. Maka, tidak sewajarnya untuk ia dipaparkan melangkaui isu perlembagaan.

Sedarkah kita hatta di Pakistan, mahkamah persekutuan syariah di negara itu pernah mendengar permohonan untuk mencabar kesahihan undang-undang jenayah Islam atas alasan ia menyalahi perundangan Islam yang sebenarnya.

Para hakim di mahkamah persekutuan syariah Pakistan tinggi ilmunya, saya biasa membaca banyak keputusan mereka mengenai perundangan Islam. Bezanya adalah mereka tidak menghukum permohonan seperti itu ibarat usaha untuk membatalkan al-Quran dan hadis.


HANIPA MAIDIN berkelulusan LL.B dan LL.B (Shariah) dan pernah menjadi timbalan menteri undang-undang serta peguam litigasi selama hampir 25 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.