Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Terbuka Artik: Pearly-Thinaah mara suku akhir, Aaron-Wooi Yik disingkir

Pasangan beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, disingkirkan pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, pada Khamis.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan ketiga, gagal memenuhi harapan apabila mereka mengalami kekalahan mengejut kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, dengan keputusan 13-21, 8-21.

Namun, nasib berbeza menyebelahi pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah yang mara ke pusingan suku akhir.

Pasangan pilihan ketiga itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan menewaskan Kirsten de Wit dari Belanda dan Mariia Stokiarenko dari Ukraine, dengan keputusan 21-10, 21-11.

Pearly-Thinaah dijadualkan berdepan dengan pasangan China, Jia Yi Fan dan Li Wen Mei, selepas pasangan tersebut menewaskan pasangan Austria, Anna Kupca dan Jekaterina Romanova, dengan keputusan 21-9, 21-3.

- Bernama