Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

K'jaan Kelantan nafi abai kebajikan skuad bola sepak Sukma

Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan telah mengabaikan kebajikan pasukan bola sepak yang sedang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata pasukan itu adalah dalam kategori C iaitu perbelanjaan ditanggung sepenuhnya Persatuan Bolasepak Kelantan (Kelantan FA) di bawah seliaan pengurusnya Datuk Azmi Ariffin.

"Tidak timbul isu kita (kerajaan negeri) mengabaikan mereka, malah kita telah siapkan pakaian rasmi kontinjen, namun mereka bertolak awal ke Sarawak kerana terlibat dengan perlawanan Piala Presiden menentang Sabah FC.

"Disebabkan itu mereka tidak sempat membawa persalinan yang disediakan dan mengenakan pakaian pasukan sendiri," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata terdapat tiga kategori pasukan ditetapkan Majlis Sukan Negeri (MSN Kelantan) iaitu kategori A perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh MSN Kelantan, kategori B kos ditanggung sebanyak 70 peratus manakala kategori C ditanggung sepenuhnya oleh pasukan sendiri.

Zamakhshari berkata Azmi telah mengeluarkan kenyataan berhubung salah faham terhadap mereka sekali gus menafikan dakwaan berlaku pengabaian.

"Azmi memaklumkan pakaian berwarna-warni yang tular itu ialah pakaian persendirian pemain kerana persalinan rasmi mereka dihantar ke dobi.

"Kebajikan pemain dan pegawai terjaga, dibayar elaun setiap kali kemenangan pada Sukma dan mendapat keperluan secukupnya sepanjang temasya berlangsung," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membayar balik semua kos perbelanjaan pasukan jika memperoleh pingat emas, manakala bagi pingat perak dan gangsa bayaran balik juga akan diberikan dalam jumlah tertentu.

Semalam tular menerusi media sosial pasukan bola sepak Kelantan disifatkan paling daif kerana beraksi di Bumi Kenyalang tanpa elaun, pakaian rasmi kontinjen dan sebarang bentuk bantuan namun mencipta kejutan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) II 3-1 dalam saingan suku akhir.

- Bernama