Faisal Halim teruja kembali beraksi
Pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim teruja apabila dapat kembali beraksi di atas padang buat kali pertama pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Faisal Halim dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tamat berkata biarpun hanya untuk tempoh yang singkat, ia saat-saat paling dinantikan olehnya setelah sekian lama berehat akibat kecederaan melecur tahap empat yang dialaminya.
"Alhamdulillah walaupun 10 minit agak bermakna buat saya dan pasukan. Saya perlu dapatkan semula kecergasan, namun menerusi semua data sebelum saya turun (ke padang) menunjukkan yang saya dah bersedia.
“Perasaan saya ada suka dan sedih sebenarnya, tapi ini saat yang ditunggu. Ini janji saya untuk pasukan kembali beraksi, alhamdulillah saya mahukan lebih lagi,” katanya ketika ditemui.
Kemasukan Faisal Halim pada minit-minit terakhir, diiringi sorakan lebih 7,400 penonton, menyemarakkan lagi semangat pemain Selangor yang terus mendominasi perlawanan sehingga wisel penamat ditiup.
Skuad The Red Giants menumpaskan KDN 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh Ronnie Allan Fernandez Saez.
Faisal kali pertama membuat kemunculan di khalayak ramai pada 16 Jun lepas pada perlawanan Piala FA antara Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai