Nur Dhabitah mara ke pusingan akhir 3 meter papan anjal
Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri mengesahkan tempat ke final acara tiga meter (m) papan anjal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.
Pada saingan separuh akhir di Olympics Aquatic Centre, Nur Dhabitah menamatkan saingan di tempat kelapan dengan keseluruhan 286.95 mata untuk melangkah ke final yang akan berlangsung pada tiga petang, Jumaat waktu tempatan (sembilan malam waktu Malaysia).
Atlet berusia 25 tahun itu bermula dengan baik untuk menduduki tangga kedua selepas mengutip 67.50 mata pada terjunan pertamanya.
Bagaimanapun, momentum terjunannya sedikit terjejas pada terjunan kedua dan ketiga dengan mencatatkan masing-masing 55.50 dan 46.50 mata.
Nur Dhabitah yang membuat penampilan ketiganya di Olimpik kali ini menerusi lebihan kuota tidak digunakan atlet negara lain, kemudiannya bangkit pada dua terjunan terakhir dengan masing-masing 57.00 dan 60.45 mata untuk mengesahkan slot ke final.
Hanya 12 penerjun layak meneruskan saingan di pusingan akhir.
Penerjun China, Chen Yiwen mendominasi saingan dengan mengumpul 360.85 mata diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua (334.70) dan Chiara Pellacani dari Itali (314.75) ketiga.
Semalam, Nur Dhabitah berjaya menempatkan diri dalam 18 penerjun terbaik untuk mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga ke-12 dengan mengumpul 283.65 mata.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai