Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kad akreditasi tetamu khas Olimpik tidak dibiaya kerajaan - MOM

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan peruntukan khas kad akreditasi untuk tetamu pegawai tertinggi mereka di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak membabitkan pembiayaan kerajaan.

Malah kad akreditasi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) itu tidak sama dengan yang diberikan kepada kontinjen Malaysia termasuk kepada atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan lain.

"IOC memperuntukkan kad akreditasi khas kepada menteri belia dan sukan, presiden (MOM) dan setiausaha agung, masing-masing kepada tetamu yang menyertainya.

"Peruntukan ini adalah berasingan dari peruntukan kad akreditasi kontinjen.

"Kad akreditasi untuk individu-individu ini juga tertakluk kepada pelbagai had, terutamanya akses ke tempat perlawanan (FOP) dan perkampungan atlet.

"Yang paling penting, ia tidak membabitkan sebarang pembiayaan kerajaan,” kata badan itu dipetik Harian Metro.

Semalam Malaysiakini melaporkan netizen mempersoalkan Presiden MOM Norza Zakaria yang dilihat turut membawa anak dan isterinya ketika menonton perlawanan acara badminton di temasya itu.

Mereka membandingkan dengan situasi dihadapi pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang tidak dapat membawa jurulatih profesionalnya Nova Armada ke Paris kerana kad akreditasi yang terhad.

Norza yang juga Presiden Kesatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil menjelaskan dia mempunyai peruntukan khas untuk membawa tetamu sendiri atas kapasiti sebagai presiden MOM dan BAM.

Malah menurut laporan dia juga merupakan presiden kehormat untuk Badminton Asia, yang bermaksud peruntukannya untuk kad akreditasi tetamu tidak terhad kepada satu sahaja.

Difahamkan setiap peruntukan kad akreditasi kontinjen berbeza-beza, bergantung kepada bilangan atlet yang layak berdasarkan merit untuk acara temasya terbesar di dunia itu.

Bagaimanapun penyertaan Jin Wei turut dibantu oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan jurulatih beregu wanita Hoon Thien How semasa perlawanannya sebelum terkandas di peringkat kumpulan minggu lalu.