Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

50 hari menjelang Olimpik masih tiada sasaran pingat

Berbaki kurang 50 hari Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum menetapkan jumlah sasaran pingat bagi temasya itu akan yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya perlu mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh terlebih dahulu serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menetapkan sasaran tersebut agar selari dengan program 'Road to Gold’.

Beliau berkata antara yang akan diperhalusi secara menyeluruh adalah sama ada Olimpik Paris akan menggunakan formula ‘sasaran tanpa warna pingat’ yang diperkenalkan pada Sukan Asia Hangzhou 2022. 

“Saya belum berkesempatan bincang dengan Hannah berkenaan perkara ini. Kita akan bincangkan apakah langkah terbaik (kerana) kebanyakan atlet punya impian ialah untuk pergi ke Olimpik (selain) tidak mahu atlet berada dalam keadaan tertekan.

“Dia (atlet) sudah berusaha empat tahun nak sampai kepada peringkat itu jadi langkah terakhir ialah untuk kita memberi sokongan sekuat-kuatnya kepada mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan di Casa 4, MSN di Bukit Jalil, hari ini. 

Sebelum ini Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan sasaran pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu, seiring dengan impian jaguh berbasikal trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang. 

Sementara itu, Mohamad Norza menjangkakan kontinjen Malaysia akan diperkuatkan dengan 24 atau 25 atlet berbanding 18 atlet yang kini sudah melayakkan diri ke Paris selain mengharapkan mereka dapat mengelakkan kecederaan.

Ditanya berhubung pembawa bendera pada sukan itu, beliau berkata perkara itu belum dibincangkan.

- Bernama