Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

3,000 disasar sertai Kejohanan Badminton Jejak Juara

Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berharap mampu menarik lebih 3,500 peserta pada Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024 di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 hingga 15 Jun ini.

Timbalan Presiden KLBA Mohd Taupik Hussain berkata kejohanan itu mempertandingkan kategori perseorangan lelaki dan perempuan melibatkan kumpulan umur bawah lapan, 10, 12, 14, 16 dan 18 tahun.

"Kita sasarkan sebagaimana tahun lepas, kita berjaya mengumpul hampir 3,500 orang pemain dan harapan kami jika tidak dapat menempatkan jumlah tersebut, kita sasarkan dalam 2,500 ke 3,000 pemain kali ini.

"Kita harus ambil maklum kali ini tempoh kejohanan dipendekkan sikit sebab sebelum ini kami buat dalam sembilan tapi kali ini hanya lima hari,” katanya selepas majlis pelancaran kejohanan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Presiden KLBA Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Projek Jejak Juara ini merupakan satu daripada rangka tindakan KLBA terdiri daripada empat elemen utama iaitu Pembangunan, Kejohanan, Biasiswa Presiden dan Akademi Badminton Antarabangsa KL.

Empat elemen itu menjadi teras utama kepada Projek Jejak Juara untuk menjadi satu program pembangunan yang menyeluruh dan sistematik dalam pembangunan serta kecemerlangan sukan badminton Kuala Lumpur.

KLBA turut berterima kasih atas kerjasama diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) bagi menjayakan program berkenaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyediakan gelanggang pertandingan yang kondusif bagi penganjuran kejohanan Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur.

- Bernama