Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PSM adakan mesyuarat isu padang SBNJ awal minggu depan

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bakal mengadakan mesyuarat pascanilai (post-mortem) berkenaan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada awal minggu hadapan.

Perkara itu disahkan PSM menerusi laman X yang memaklumkan mesyuarat mengenai gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu akan diadakan bersama juruperunding dan kontraktor padang SNBJ.

"PSM komited untuk terus membuat penambahbaikan dan akan memberikan maklum balas selepas post-mortem," menurut kenyataan itu.

Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini susulan tular sebuah video dan gambar permukaan padang yang rosak selepas penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Feb lalu.

Malah isu sama turut berlaku pada November tahun lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan sekali gus mengakibatkan permukaan padang rosak meskipun rumput jenis Zeon Zoysia itu baru ditukar.

Selain itu, pasukan Malaysia dan Oman pada Isnin lalu turut tidak dibenarkan berlatih sehari sebelum perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Selasa.

Para netizen terutamanya peminat bola sepak tempatan terus mengkritik keadaan padang SNBJ yang dilihat kurang memuaskan ketika aksi Harimau Malaya dan Oman yang akhirnya memihak pasukan lawan dengan keputusan 2-0.

-Bernama