All England: Perjuangan Pearly-Thinaah tamat di suku akhir
Hasrat beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2024 tidak kesampaian apabila disekat pasangan ke-11 dunia Rena Miyaura- Ayako Sakuramoto dari Jepun, hari ini.
Pada pertembungan suku akhir di Utilita Arena, Brimingham, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking dunia ke-15 itu bermula garang apabila menumpaskan Rena-Ayako 21-11 pada set pertama.
Mereka bagaimanapun terpaksa menerima kehebatan juara Terbuka Switzerland 2023 itu apabila ditundukkan 18-21, 18-21 pada dua set seterusnya.
Ini merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan berkenaan selepas Masters Jepun 2023.
Pearly-Thinaah bagaimanapun boleh berbangga pada edisi kali ini apabila dapat mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 22-20, 21-16 pada pusingan kedua semalam selepas tewas dalam lima pertemuan terakhir.
Rena-Ayako seterusnya akan melakukan perhitungan bersama rakan senegara, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang juga pilihan keenam kejohanan pada perlawanan separuh akhir esok.
Dua lagi wakil negara membabitkan perseorangan profesional lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan beraksi pada awal pagi ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai