Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Perlis United dakwa syarikat penaja ditekan

Pasukan Liga M3, Perlis United FC (PUFC), mendakwa wujud pihak tertentu yang menekan syarikat penaja mereka selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pasukan itu bakal menyertai saingan Liga Super musim ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Rozailmee Zulkeply, berkata dia terkilan apabila keadaan itu berlaku dan meminta semua pihak memberikan ruang kepada PUFC untuk memenuhi syarat tambahan MFL sebelum layak menerima lesen khas bagi menyertai Liga Super 2024/2025.

"Kami agak terkilan kerana banyak pihak menekan syarikat sponsorship (penaja) kami setelah nama (syarikat) mereka diumumkan MFL.

"Beri ruang untuk kami buktikan bahawa kami mampu memenuhi kehendak MFL," katanya kepada Malaysiakini.

Rozailmee Zulkeply

Ketika ditanya adakah komen serta tanggapan negatif terhadap kemampuan PUFC bersaing dalam Liga Super menyebabkan keyakinan pihak penaja serta syarikat lain yang berpotensi menjadi penaja berkurangan, Rozailmee menjawab sedikit sebanyak ia memberi kesan.

Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Ya, sedikit sebanyak (memberi kesan). Tapi kami tak nak keruhkan keadaan.

“Apa yang kami minta ialah supaya semua pihak bertenang dan profesional," tambahnya.

PUFC ditubuhkan pada 2021 selepas dasar penswastaan diperkenalkan setahun sebelum itu.

Pasukan yang berpangkalan di Kangar, Perlis itu turut menggunakan gelaran Singa Utara yang merupakan julukan pasukan Perlis sebelum ini.

PUFC dikatakan bakal mencipta sensasi dengan menjadi wakil negeri Perlis ke saingan liga bola sepak teratas negara selepas 'hilang' dari saingan selama 13 tahun.

Kali terakhir Perlis bersaing di Liga Super ialah pada 2011 sebelum skuad itu tersingkir ke liga terbawah.

Bukan sekadar pelengkap liga

Katanya, PUFC sedang menumpukan persediaan dari segi kewangan dan memperkuatkan pasukan serta mencari peluang untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat yang berpotensi menjadi penaja.

"PUFC mempunyai pelbagai pakej menarik untuk penaja yang berminat dan kami berterima kasih kepada MFL kerana memberi ruang untuk membuktikan kesungguhan dan kelayakan kami.

"Kami tidak boleh menyekat persepsi negatif yang ditujukan kepada kami di media sosial.

“Cuma kami ingin tegaskan bahawa PUFC akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan skuad ini tidak sekadar menjadi pelengkap liga sebaliknya mampu memberi saingan terbaik kepada semua pasukan," katanya lagi.

Semalam, MFL mengumumkan PUFC diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen khas bagi menyertai Liga Super musim ini.

Antara syarat tambahan yang dikenakan ialah PUFC perlu menyelesaikan semua hutang tertunggak, dan memberi bukti kemasukan dana melalui penajaan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata Lembaga Pengarah MFL telah mendengar permohonan serta membuat semakan dan penilaian dokumen yang diserahkan PUFC menerusi cadangan daripada Unit Pelesenan MFL, First Instance Body (FIB).

"Berdasarkan semakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Bhd, MA Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

"PUFC turut mengemukakan salinan cek bernilai RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan," katanya dalam kenyataan media.