Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Yeoh sedia jumpa pasukan terjun negara

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata dia sedia untuk mengadakan pertemuan dengan pasukan penerjun negara susulan kegagalan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya akan jumpa perenang dan mendengar (luahan) daripada mereka, tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini, kita dalam proses untuk melakukan pembaharuan untuk ekosistem sukan kita," katanya.

Yeoh berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penyerahan siap kerja trek sintetik Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang, hari ini.

Sebelum ini, Pandelela Rinong, 30, dilaporkan mendakwa terdapat ‘entiti’ tertentu mengganggu skuad terjun negara mengakibatkan mereka gagal merekodkan keputusan cemerlang pada kejohanan di Doha, Qatar.

Semalam, atlet dalam program Road To Gold (RTG) itu memohon maaf atas kegagalannya melayakkan diri ke Paris selepas terkandas di pusingan kelayakan dalam acara 10 meter (m) platform individu.

Pandelela juga gagal melayakkan diri dalam acara 10 m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri, apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.

Yeoh memberitahu masih ada ruang penambahbaikan dalam sukan negara dan kerajaan akan menjalankan lagi program berkenaan sepanjang tahun.

Antara lain katanya kementerian akan mendengar pandangan dan rungutan daripada kumpulan sasar iaitu atlet, jurulatih, dan Majlis Sukan Negara kerana masing-masing mempunyai justifikasi sendiri atas sesuatu keputusan.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperluaskan kelas latihan asas sukan renang (KLAS) yang dilancarkan Mei tahun lalu.

Pada asalnya, kata Yeoh, kelas tersebut dibuka untuk kanak-kanak dari keluarga B40, namun tahun ini KBS juga menawarkan kelas sama kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Yeoh, keutamaan diberikan kepada golongan warga emas yang tinggal di kawasan mudah terjejas akibat banjir.

"Kelas renang kita diteruskan tahun ini dan hot spot lokasi daerah mana, terpulang kepada laporan polis dan polis akan memberitahu kita hot spot di daerah yang banyak kes lemas.

"KBS juga kena tengok fasiliti kolam renang di sesuatu daerah itu, ada atau tidak dan kita bekerjasama dengan Maswim (Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia).

"Daerah yang tidak ada kolam renang, Maswim akan bawa kolam renang mudah alih mereka.

"Tahun ini kita teruskan tetapi ada untuk warga emas di kawasan hot spot banjir dan juga OKU," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai program jualan sukan Rahmah yang dilancarkan KBS pada Sept lalu, Yeoh menjelaskan, konsep itu tidak bermusim dan pihaknya menggalakkan vendor menawarkan barangan serta peralatan sukan pada harga murah sepanjang tahun.

"Pada masa itu (Sept 2023) program jualan sukan Rahmah adalah bersempena Hari Sukan Negara.

"Apabila saya turun padang sekarang, saya lihat sukan untuk warga emas, bukan semua warga emas itu ada kasut sukan, jersi atau tudung yang sesuai... sebab itu kerajaan minta vendor fikirkan konsep Rahmah supaya dia ada produk yang murah supaya B40 juga boleh terlibat dalam menjayakan gaya hidup sihat.

"Konsep Rahmah ini boleh berjalan sepanjang tahun, kita memang menggalakkan vendor memperkenalkan barangan yang sesuai untuk B40," katanya.