Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

'Berbaloi saya jual motor demi sokong Harimau Malaya'

Selain keputusan 3-3 menentang Korea Selatan semalam, turut menjadi perhatian adalah seorang peminat bola sepak tanah air yang dirakam mengalirkan air mata ketika menyaksikan aksi penuh mendebarkan di Stadium Al Janoub di Doha itu.

Video Derrick Gan, 30, menjadi perhatian ramai, selain hantaran yang dibuatnya di Facebook sebelum ini untuk menjual motosikal miliknya demi mencari dana untuk ke Doha, Qatar.

Bercakap dengan Malaysiakini, Derrick berkata dia mula menangis selepas jaringan kedua Harimau Malaya menerusi Arif Aiman pada minit ke-62, yang meletakkan skuad kebangsaan di hadapan.

"Selepas itu, saya terus menangis sehingga Malaysia menjaringkan gol ketiga dan berjaya dapat keputusan seri dengan Korea.

"Tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan ketika itu. Gembira, teruja, sebak dan semangat ketika Romel jaring gol penyamaan. Saya seakan tidak percaya dan rasa terharu," katanya yang kini masih berada di Qatar.

Menceritakan perjalanannya, pemuda yang berasal dari Bandar Hilir, Melaka itu berkata rancangan untuk menjual motosikal timbul secara spontan ketika dia berfikir cara untuk mengumpul wang bagi menonton aksi Harimau Malaya di sana.

"Saya dan sepupu merancang untuk ke Qatar, tapi harga tiket kapal terbang dan belanja di sana sangat mahal.

"Jadi, idea menjual motor ini datang secara tiba-tiba, lalu kami pun cuba iklankan di Facebook," katanya, sambil menambah pada mulanya dia berasa agak kecewa kerana iklan itu tidak mendapat sambutan.

Namun, katanya, kira-kira seminggu sebelum kempen Piala Asia 2023 bermula, ada pihak yang menghubunginya untuk membeli motosikal tersebut pada harga RM4,500.

"110 peratus berbaloi jual motosikal untuk ke sini. Sehingga sekarang, saya masih sukar mempercayainya," ujarnya.

Dalam hantaran bertarikh 28 Disember lalu itu, dia menulis: "Mencari dana ke Qatar! Malaysia Road to Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motor demi negara tercinta.

"Ini kejohanan besar pertama dalam sejarah Malaysia. Ada sesiapa sudi tolong tak?"

Hasilnya, dia bersama-sama empat lagi rakan termasuk seorang sepupunya berangkat ke Qatar pada 19 Januari lalu dan sempat menonton skuad kendalian Kim Pan Gon bermula aksi kedua bertemu Bahrain, sehari kemudian.

Menurutnya, dia menghabiskan kira-kira RM5,000 bagi membeli dua tiket perlawanan, termasuk perbelanjaan lain seperti makan dan penginapan yang dikongsi bersama rakan-rakannya.

Rasa macam selebriti

Derrick mengakui masih terkejut dirinya menjadi tular dan keluarganya turut berseloroh menyatakan yang dia kini seperti selebriti.

"Saya masih tergamam dan masih cuba untuk proses semua ini. Notifikasi juga tidak henti-henti masuk ke telefon, ramai pihak menghubungi saya termasuk wakil rakyat.

"Selepas tamat perlawanan, saya juga disapa peminat Harimau Malaya yang lain di luar stadium yang mahu bergambar," katanya lagi.

Dia berkata minatnya terhadap bola sepak bermula sejak kecil dan banyak dipengaruhi oleh sepupunya.

"Semuanya berlalu begitu pantas, tiba-tiba saja saya sudah berada di sini dan membawa impian seorang budak Melaka ke pentas dunia (Piala Asia) di Qatar," katanya.

Malaysia tewas dalam dua perlawanan pertama Kumpulan E, iaitu 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain.

Namun, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, para pemain negara menunjukkan aksi cemerlang dengan mengikat juara dua kali Asia, Korea Selatan dengan keputusan 3-3.

Malaysia mengejutkan skuad diterajui bintang Liga Perdana Inggeris, Son Heung-min itu apabila mendahului 2-1 menerusi jaringan Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 10 minit menerusi sepakan percuma Lee Kang-in, sebelum Son meletakkan negara itu di depan menerusi sepakan penalti pada masa tambahan.

Di saat akhir perlawanan, pemain naturalisasi Romel Morales muncul wira apabila menyumbat gol ketiga Harimau Malaya pada minit ke-15 masa tambahan untuk menghadiahkan satu mata Harimau Malaya pada kempen kali ini.