Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Misi mustahil Harimau Malaya bawa pulang mata berharga

Tugas sukar menanti skuad Harimau Malaya untuk membawa pulang mata saguhati selepas tumbang dalam dua perlawanan pertama saingan kumpulan E Piala Asia 2023.

Bakal berdepan Korea Selatan di Stadium Al Janoub di Qatar esok, ia merupakan cabaran terbesar bagi Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dan anak buahnya untuk tidak pulang dengan tangan kosong.

Perlawanan esok akan menentukan sama ada skuad negara akan membawa pulang mata atau mengulangi rekod buruk Piala Asia 2007 apabila gagal memenangi sebarang perlawanan.

Korea Selatan yang berada ranking ke-26 dunia dijangka tidak akan memberi laluan mudah demi memburu kemenangan dengan jaringan besar. Negara itu kini berkongsi kedudukan bersama Jordan dengan 4 mata.

Selain mengharapkan keajaiban tercipta, pastinya penyokong Harimau Malaya tidak mahu melihat pasukan mereka menjadi "lauk" kepada jaguh bola sepak Asia itu.

Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Fauzi Pilus mengharapkan anak buah Pan Gon tidak menjadi "kenduri" buat skuad Taeguk Warriors, di saat kedudukan juara Asia dua kali itu masih belum selamat.

Jelas bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu, skuad bimbingan Jurgen Klinsmann pasti tidak akan memberikan belas kasihan kerana mereka juga terdesak untuk mencipta kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

"Kita kena realistik dan apa yang kita harapkan, jangan 'kena' (bolos) banyak. Moral pemain pun agak rendah dengan pelbagai kritikan jadi mental mereka kena fokus untuk perlawanan ini. Mungkin ada strategi untuk kita kejutkan Korea Selatan.

"Kita kena terima bahawa Korea Selatan juga dalam keadaan bahaya kerana kalau mereka terperangkap, mereka pun boleh sangkut. Jadi mereka pasti akan bermain bermati-matian untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

"Kalau Korea Selatan sudah mengesahkan slot ke pusingan seterusnya, mungkin mereka boleh buat penggiliran tetapi dalam situasi sekarang, Korea Selatan agak sedikit tertekan untuk elak daripada terkena kejutan daripada kita," katanya seperti dipetik BH Online.

Terdahulu, skuad kebangsaan tewas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain.

Menjelang perlawanan terakhir ini, bekas pemain kebangsaan Zainal Abidin Hassan mengingatkan Pan Gon agar lebih berhati-hati dalam melakukan pertukaran pemain, susulan kesilapan percaturan ketika menggantikan Syamer Kutty Abba dengan Natxo Insa ketika separuh masa kedua menentang Bahrain.

“Mungkin Pan Gon memasukkan Insa kerana ingin mengawal keadaan, tetapi terbukti Malaysia diasak Bahrain. Jadi keputusan yang dibuat perlu diambil sebagai pengajaran kerana pasukan kita masih mentah," katanya.

Sementara itu, pemain sayap Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid berkata dia tidak gentar untuk berdepan bintang Korea Selatan Son Heung-min dan percaturan Klinsmann.

Sebaliknya dia optimis Harimau Malaya mampu mencipta kejutan kerana mereka akan berdepan Korea Selatan tanpa tekanan kerana telah tersisih daripada pusingan seterusnya.

Katanya, Harimau Malaya akan turun dengan matlamat mencalar reputasi jaguh Asia itu.

“Semua tahu, Son adalah pemain yang baik…saya tahu kemampuan dia, dalam situasi satu lawan satu mungkin dia boleh (lepas) tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin (tak boleh lepas).

“Dia (Son) pun manusia biasa. Saya rasa kelebihan pada kami sebab kami bertahan dan dia akan menyerang…saya percaya dengan rakan sepasukan dan jurulatih (Pan Gon), jadi kita tengok perlawanan esok,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.