Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN | Apa rasional kemasukan Insa yang tak pernah diturunkan?

ULASAN | Tatkala semua mengharapkan momentum sama dikekalkan Malaysia pada separuh masa kedua menentang Bahrain dua hari lalu, Kim Pan Gon membuat satu pertukaran yang memberi kesan dan mempengaruhi kekalahan 0-1 skuad Harimau Malaya.

Kekalahan pada aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad itu menutup terus peluang Malaysia untuk mencipta sejarah dengan melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Di sebalik pendekatan taktikal yang betul digunakan Pan Gon dalam memburu tiga mata, keputusan menggantikan pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba dengan pemain paling berusia Natxo Insa di awal babak kedua dilihat sebagai percaturan yang memakan diri sendiri.

Kehadiran Mohamed Syamer bergandingan dengan Stuart Wilkin dalam kesebelasan utama memberi kelebihan yang tiada dalam pasukan ketika tewas 0-4 kepada Jordan pada aksi pembukaan kumpulan, Isnin lepas.

Pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 27 tahun itu memainkan peranannya dengan baik untuk mengisi jurang antara barisan pertahanan dan jentera serangan, menyaksikan permainan pasukan negara lebih dinamik dan menyakinkan pada 45 minit pertama berbanding separuh masa kedua.

Mengambil kira peranan dimainkan Mohamed Syamer, jika dia terus beraksi pada babak kedua tidak mustahil Malaysia akan mendapat jaringan yang dicari-cari apabila tekanan demi tekanan yang dilakukan mungkin menyebabkan Bahrain melakukan kesilapan dan melepaskan gol.

Mohamed Syamer

Ketiadaan Mohamed Syamer selepas itu umpama rahmat buat skuad Dilmun’s Warriors bimbingan Juan Antonio Pizzi yang merampas penguasaan bola dengan statistik 66 peratus berbanding Malaysia yang memiliki 34 peratus di penghujung perlawanan.

Insa, pemain JDT berusia 38 tahun yang membuat satu-satunya penampilan bersama Malaysia pada Mac 2018, tidak pernah diturunkan dalam skuad Pan Gon sejak jurulatih dari Korea Selatan itu mengambil alih pasukan pada Januari 2022 dan hanya dipanggil beberapa kali dalam kem latihan pusat.

Malah pada kem latihan pusat di Doha sejak 1 Jan lepas, Insa, hanya melakukan latihan kecergasan sehingga tiga hari sebelum pertemuan dengan Bahrain sedangkan Brendan telah menyertai sesi latihan berpasukan lebih awal sekali gus mempunyai pemahaman yang lebih terhadap taktikal permainan.

Sudah pasti keputusan yang dilakukan Pan Gon itu sesuatu yang amat mengejutkan kerana mempertaruhkan seorang pemain yang tidak pernah bermain bersama pasukan selama ini dalam perlawanan genting seperti dua hari lalu.

Pan Gon tidak menyatakan secara spesifik rasional di sebalik keputusannya menurunkan Insa, namun dia menegaskan setiap pertukaran yang dibuat adalah bagi menampung keperluan pasukan bergantung kepada perubahan yang berlaku semasa perlawanan.

Bagaimanapun, penyokong Harimau Malaya melemparkan komen negatif terhadap Insa di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menganggap pemain itu gagal memberi impak seperti Mohamed Syamer sepanjang babak pertama.

Mohamed Syamer yang ditemui berkata pertukaran itu adalah disebabkan tuntutan taktikal permainan dan bagi mengurangkan risiko pasukan bermain 10 pemain selepas dirinya mengutip kad kuning di babak pertama, sekali gus menafikan persoalan sama ada dia mengalami kecederaan.

Insa pula berkata setiap pemain yang diturunkan mahu memberikan yang terbaik dan setiap kali menyarung jersi pasukan kebangsaan memberi sebuah tekanan yang besar di bahu pemain.

Dalam pada itu, perlawanan semalam membuktikan teori pasukan yang paling kurang membuat kesilapan dalam aksi berintensiti tinggi mempunyai peluang lebih cerah untuk meraih kemenangan.

Ia dibuktikan Bahrain yang merupakan pasukan lebih berpengalaman dan memiliki segala kelebihan di atas kertas apabila mereka bersabar sepanjang 90 minit permainan dan hanya menanti peluang untuk mencipta jaringan.

Bahrain pasukan ke-86 dunia sementara Malaysia ke-130.

Jaringan saat-saat akhir pada masa kecederaan babak kedua oleh pemain tengah Ali Madan memberikan kemenangan pertama kepada Bahrain sekali gus menghidupkan peluang pasukan memburu tempat ke pusingan 16 terbaik untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pada edisi lepas.

Malaysia selepas ini akan melengkapkan baki saingan kumpulan menentang juara dua kali Korea Selatan yang pasti akan turun memburu kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar untuk melangkah ke pusingan kalah mati selaku juara.

Malaysia akan menentang Korea Selatan, Khamis ini.

-Bernama