Pan Gon: Maaf, kami gagal tangani tekanan
Pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon jelas kecewa dan mengakui anak buahnya gagal beraksi dengan baik di sebalik tekanan besar untuk memenangi Pestabola Merdeka 2023 selepas kalah 2-0 kepada Tajikistan pada final, malam semalam.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu meminta maaf kepada rakyat Malaysia yang meletakkan jangkaan tinggi untuk muncul juara tetapi malangnya gagal berbuat demikian.
“Kami sendiri tertekan dan juga gagal menangani tekanan daripada peminat dan juga pihak lawan,” katanya pada sidang media pasca perlawanan di Kuala Lumpur.
Katanya, dia layak dipersalahkan dan mengambil bertanggungjawab sepenuhnya atas rentak permainan dan taktik yang dituntut terhadap pemain semasa perlawanan.
Pan Gon berkata bahawa tidak adil untuk mengkritik pemain kerana mereka telah bermain dengan baik dalam menguasai perlawanan dan bermain dengan penuh tenaga menentang pasukan di tangga ke-110 dunia.
Oleh itu, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata kekalahan perit kepada skuad kendalian Petar Segrt itu merupakan ‘wake-up call’ dan banyak perlu diusahakan untuk memperbaiki pasukan Harimau Malaya di kedudukan 134 dunia menjelang saingan Kumpulan D kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.
“Pengalaman seperti ini memang menyakitkan tetapi kita akan belajar daripada kesilapan. Akhirnya, ini bukanlah penghujung dunia," katanya.
Harimau Malaya akan menentang Kyrgyzstan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Nov ini sebelum bertandang ke tempat lawan di Taiwan pada 21 Nov.
Sementara itu, Segrt yang sangat gembira memberi pujian kepada disiplin pemainnya sepanjang perlawanan yang memainkan peranan penting dalam memenangi kejohanan dalam penampilan pertama mereka.
"Jadi dari pihak saya, tahniah kepada pemain-pemain hebat ini dan saya rasa seluruh negara Tajikistan terkejut. Saya rasa kita berhak mendapat kemenangan ini. Kami bermain dengan sangat jelas dan sangat teratur," katanya.
Tajikistan mencipta gol pada setiap babak melalui Soirov Rustam pada minit ke-44 dan pemain gantian, Samiev Shahrom pada minit ke-88 untuk menjuarai piala tersebut.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai