Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Selangor benam Kelantan 11-2

Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk berpesta gol, selepas membelasah Kelantan FC 11-2, pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam ini.

Pemain import Selangor Ayron Del Valle dan Richmond Boakye, mencuri tumpuan pada pertembungan itu selepas masing-masing meledak empat dan tiga gol untuk membantu skuad Gergasi Merah bimbingan Tan Cheng Hoe mengutip tiga mata berharga.

Pasukan tuan rumah yang terpalit pelbagai isu di luar padang ketika ini, bermula dengan cemerlang apabila mendahului 2-0 selepas Natanael Saringo menyempurnakan penalti pada minit kelima diikuti jaringan kedua hasil penyudah Mohamad Fazrul Amir Zaman pada minit ke-14.

Tersentak dengan dua gol awal itu, Selangor bangkit memperkemaskan permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan dalam tempoh singkat apabila Yohandry Orozco meledak gol pada minit ke-28 diikuti jaringan Sharul Nazeem Zulpakar empat minit berselang.

Ayron memastikan pasukan pelawat mengubah perlawanan sebelum rehat apabila menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-41 dan minit ke-44 sekali gus memberi tekanan kepada Kelantan yang seakan hilang arah.

Bersambung babak kedua, Selangor terus mendominasi dengan jaringan kelima menerusi Boakye pada minit ke-48, sebelum pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim yang kembali daripada penggantungan, menjaringkan gol pada minit ke-50 dan minit ke-53.

Del Valle meraih hatriknya selepas meledak gol kelapan Selangor pada minit ke-63 sebelum Boakye mengikuti jejak langkah sama apabila menyumbat gol pada minit ke-78 dan minit ke-86, sebelum Del Valle menjadikannya 2-11 dengan jaringan pada minit ke-87.

Selepas 22 perlawanan, Selangor mengumpul 49 mata dengan 16 kemenangan menduduki tempat kedua, enam mata di atas Kedah Darul Aman FC di kedudukan ketiga dengan 43 mata selepas 20 perlawanan.

- Bernama