Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

AFL akan minta penjelasan kelab guna logo syarikat vape

Amateur Football League (AFL) yang bertangungjawab terhadap penganjuran Liga M3 akan meminta penjelasan daripada kelab BRM Kuala Kangsar berhubung isu logo jersi yang didakwa membabitkan syarikat rokok elektronik (vape).

Pengerusi AFL Mohd Yusoff Mahadi berkata pasukan itu sebelum ini sudah diberitahu mengenai larangan berkenaan.

"Di peringkat AFL kita sudah maklumkan dan larang mereka (BRM Kuala Kangsar) guna logo penaja berunsurkan rokok.

"Tetapi apa yang berlaku mereka mengambil tindakan sendiri apabila logo berkenaan dipaparkan pada jersi. Memang kita dah larang.

"Jadi pada perlawanan liga bermula nanti, mereka perlu pastikan perkara itu tidak berlaku dan kita tidak akan benarkan ia (logo syarikat rokok) dipaparkan pada jersi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu satu portal bola sepak tempatan membangkitkan persoalan sama ada tindakan kelab itu melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 atau tidak.

Ini selepas logo syarikat vape terpapar pada jersi yang dilancarkan kelab itu yang dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dalam maklum balasnya kepada Malaysiakini berkata dia tidak dimaklumkan lebih awal berkaitan penajaan syarikat vape dalam pasukan tersebut.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakannya memakai jersi sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai logo syarikat vape.

"Saya tidak tahu apa yang ditulis di jersi.

"Itu majlis pelancaran jersi pasukan dan saya jadi tetamu acara itu. Perkara ini tidak patut dilihat sebagai satu pengiktirafan," kata Adam yang juga ketua Pemuda PKR.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya akan meminta penjelasan daripada pengurusan kelab tersebut berhubung perkara itu.

"Buat masa ini kita akan minta kelab itu untuk beri penjelasan mengenai perkara ini, kemudian baru kita boleh lihat apa tindakan seterusnya," katanya.