Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adam Adli: Saya tak iktiraf penajaan syarikat vape

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata dia tidak dimaklumkan lebih awal berkaitan penajaan syarikat vape dalam sebuah pasukan bola sepak kedaerahan.

Ketua Pemuda PKR itu berkata demikian ketika mengulas tindakannya memakai jersi sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai logo syarikat vape.

“Kita tidak tahu apa yang ditulis di jersi. 

“Itu majlis dedahkan jersi pasukan dan saya jadi tetamu acara itu. 

“Perkara ini tidak patut dilihat sebagai satu pengiktirafan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga mengakui penggunaan rokok elektrik mempunyai risiko kesihatan kepada pengguna.

Dalam kontroversi itu, Adam memakai jersi BRM FC Kuala Kangsar di Shah Alam, Selangor mahu menunjukkan sokongan terhadap persaingan sukan itu di peringkat akar umbi melalui Liga M3.

Jersi BRM FC itu mempunyai logo Aladdin Pro di bahagian depannya.

Laman web sukan Harimau Malaysia membangkitkan persoalan sama ada tindakan itu melanggar syarat penajaan pasukan bola sepak dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Laman web itu juga mengingatkan kepada insiden sebelum ini melibatkan Selangor FC yang menarik balik tulisan di media sosial yang mempromosikan produk rokok elektronik  pada 2020.

Sementara itu, Adam berkata mana-mana pasukan bertanding wajib mengikuti segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan, khususnya berkaitan aspek penajaan.

“Sehubungan itu, apa yang berlaku adalah suatu peringatan kepada semua pihak,” katanya.

[Baca berita asal]