Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Golf: MGA sasar satu emas di Sukan Sea Kemboja

Persatuan Golf Malaysia (MGA) menyasarkan hanya satu pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja yang akan membuka tirainya Mei ini.

Meskipun golf meraih dua emas pada Sukan SEA Hanoi lepas, Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata pihaknya enggan meletakkan sasaran untuk mempertahankan pencapaian itu kerana kebanyakan pemain kebangsaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat terikat dengan kejohanan di bawah Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA).

“Sukan SEA yang lepas, kami mempunyai pemain yang bagus, keenam-enam mereka tidak dapat ikut serta kerana pertembungan kejohanan, NCAA, tahun ini juga masalah yang sama.

“Tahun ini Majlis Olimpik Negara minta untuk tiga emas, tetapi ia mustahil, diharapkan kami dapat satu emas tahun ini, mungkin kita sasarkan berpasukan, (kategori) individu tak dapat, berpasukan lelaki atau wanita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kerjasama Penajaan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA di sini hari ini.

Pada Sukan SEA Hanoi 2021 yang diadakan tahun lepas, skuad kebangsaan berjaya membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Mohd Anwar berkata MGA bakal mengumumkan senarai empat pemain lelaki dan tiga wanita yang akan menggalas cabaran ke temasya dwitahunan itu, 26 April ini.

Terdahulu, persatuan itu memeterai kerjasama dengan tiga penaja iaitu Colla Group, Reneuco Berhad dan NJDP Training Grant Worth bagi Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA.

Katanya program yang berlangsung selama enam bulan itu adalah bagi memberi pendedahan kepada atlet golf remaja kebangsaan dalam mempersiapkan diri menghadapi kejohanan antarabangsa.

- Bernama