Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia tewaskan Thailand di separuh akhir pertama AFF

Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumpaskan juara bertahan Thailand 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini.

Pemain sayap sensasi, Mohamad Faisal Abdul Halim yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 hari ini, muncul wira apabila meledak gol kemenangan skuad Harimau Malaya pada pertembungan disaksikan 62,989 penonton itu.

Kemenangan dilakar Malaysia menyaksikan juara 2010 itu membawa bekalan yang diinginkan ke Bangkok bagi aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Selasa depan dalam kemuncak perebutan slot ke final.

Pada pertembungan mendebarkan malam ini, di sebalik sokongan padu puluhan ribu penyokong, Thailand yang belum tewas dalam kempen kali ini lebih mendominasi permainan dan hampir mengejutkan Malaysia seawal minit keempat apabila tandukan bebas Pansa Hemviboon di depan gawang tersasar.

Bagaimanapun, Malaysia terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Mohamad Faisal pada minit ke-11 selepas menerima umpanan V. Ruventhiran dari sebelah kiri yang menanduk hantaran jauh Sharul Nazeem Zulpakar.

Ia merupakan gol keempat Mohamad Faisal dalam kempen kejohanan sekali gus berada di kedudukan kedua dalam carta penjaring terbanyak di belakang penyerang prolifik Thailand Teerasil Dangda yang mengumpul lima gol.

Jaringan pembukaan itu tidak mematahkan semangat skuad bimbingan Alexandre Polking yang tenang mengawal permainan selain mencipta gerakan berbahaya menyaksikan penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak senang duduk di gawang.

Malaysia di bawah bimbingan Kim Pan Gon terlepas peluang keemasan menggandakan kedudukan pada minit ke-28 selepas Quentin Cheng gagal memanfaatkan lorongan Mohamad Faisal dalam kotak penalti apabila rembatannya dari jarak dekat tinggi melepasi palang.

Selepas kedudukan 1-0 memihak Malaysia pada separuh masa pertama, Thailand tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan permainan apabila hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan Dangda terkena tiang dua minit selepas permainan bersambung.

Malaysia kemudian menyaksikan jaringan keduanya hasil tandukan Dominic Tan berpunca sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-55 dibatalkan pengadil Kim Dae Yong dari Korea Selatan selepas mendakwa terdapat kekasaran dilakukan pemain negara dalam kotak penalti.

Situasi itu dimanfaatkan sebaiknya Thailand untuk terus menekan pasukan negara sebelum Panya terlepas peluang terbaik untuk meledak gol apabila percubaan dari jarak dekat diselamatkan Ahmad Syihan pada minit ke-63.

Menghampiri minit ke-70 kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain bagi menyuntik nafas baharu dengan Thailand melancarkan serangan bertali arus dalam usaha memburu gol penyamaan, namun gagal mengubah kedudukan sehingga masa penuh perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Stadium Nasional kekal menjadi igaun buruk buat Thailand apabila masih belum berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan di sini.

Perlawanan malam ini diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersama timbalannya Adam Adli Abd Halim dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin.

- Bernama