Penganjur konsert Jay Chow tempah stadium sejak 2019, kata menteri
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semalam menjelaskan bahawa 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa 'dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa.
Hannah berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan telah ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan, Jay Chou sejak Mac 2019, turut melibatkan jumlah kru yang ramai.
Justeru itu, dia berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat adalah mustahil untuk mengubah situasi di stadium berkenaan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.
"Saya telah dapatkan penjelasan (bahawa) kerja pemasangan ini melibatkan 14 hari melibatkan 500 kru,185 kru antarabangsa masuk ke Malaysia hanya untuk pemasangan, 45 jentera berat, 200 unit alat pembesar suara dan 800 unit lampu. Jadi ia bukan macam khemah pentas biasa yang mana kita boleh pasang (atau) buka sesuka hati.
"Jadi kedua-dua acara mempunyai penyokong yang cukup kuat. Jadi kita nak bagi semua sokongan pada Harimau Malaya, Sabtu ini, dan juga konsert yang telah di tempah lebih awal,” katanya kepada Bernama, malam tadi.
Dua hari lalu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman memaklumkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
Kekosongan 21,000 tempat duduk itu bagaimana pun mendapat kritikan daripada peminat bola sepak tanah air.
Sementara itu, Hannah berkata situasi sama kekal seandainya Malaysia layak ke pentas akhir dengan aksi final kedua dijadual berlangsung pada 16 Jan ini.
"Yang ni perbadanan (Perbadanan Stadium Malaysia) telah membuat usaha rancangan untuk tengok bagaimana kita nak tampung untuk semua...jadi itu (final) akan terus berjalan tetapi dalam keadaan macam sekarang di mana kawasan yang akan dihadang.
"...kerana lokasi yang paling sesuai untuk FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) adalah di sini (Stadium Nasional Bukit Jalil) kerana ada pengangkutan awam dan jumlah kerusi yang banyak dan ini adalah keadaan yang tak boleh dielakkan kerana (ada) tempahan yang lebih awal," katanya.
Konsert Jay Chou dijadual berlangsung pada 15 Jan ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai