Harimau Malaya jinakkan Singapura di Bukit Jalil
Stuart Wilkin meledakkan dua gol buat Harimau Malaya sekali gus membantu skuad negara membenam cabaran Singapura dalam perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric malam ini.
Namun sebelum itu Darren Lok memecahkan kebuntuan pada minit ke-35 selepas dia menyempurnakan hantaran lintang daripada Safawi Rasid melalui tandukan kencang melepasi jangkauan Hassan Sunny.
Lima minit berselang selepas separuh masa kedua bermula, datanglah giliran Stuart Wilkin yang membuat tendangan kencang dari luar kotak penalti untuk sekali lagi menghukum pasukan pelawat.
Hanya empat minit kemudian dia melakukan pusingan badan yang pantas untuk merembat masuk gol peribadi kedua, dan gol ketiga Harimau Malaya.
Bola itu didatangkan kepadanya melalui gerakan Safawi di kiri pintu gol Singapura.
Pada minit ke-85 Faris Ramli berjaya merapatkan jurang gol apabila menjaringkan gol tunggal Singapura, sebelum Sergio Aguero kembali menjarakkannya pada minit ke-88.
Perlawanan malam ini dikendalikan pengadil dari Arab Saudi Mohammed Khled Al-Hoish.
Kemenangan meyakinkan itu meletakkan skuad kebangsaan memperoleh sembilan mata daripada empat perlawanan.
Bagaimanapun keadaan itu tidak mencukupi buat Harimau Malaya berada di tempat teratas kumpulan B apabila kekurangan satu mata berbanding Vietnam yang turut mencatat kemenangan malam ini.
Vietnam mengalahkan Myanmar 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi.
Singapura pula berada di tempat ketiga dengan tujuh mata, diikuti Myanmar (1 mata) dan Laos berada di kedudukan paling bawah juga dengan 1 mata hasil empat perlawanan.
Daripada lima perlawanan terakhir bertemu Singapura, Malaysia hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan iaitu pada Piala AFF 2014 dengan keputusan 3-1.
Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Singapura menang 2-1 di laman sendiri hasil persaingan persahabatan antarabangsa yang berlangsung pada Mac lepas.
Sementara itu dalam kumpulan A Thailand berada di tempat teratas mengatasi Indonesia. Kedua-dua pasukan mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan.
Kemboja berada di tempat ketiga, diikuti Filipina dan Brunei.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai