Piala AFF: Vietnam tewaskan Harimau Malaya 3-0
Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan B penuh kontroversi di Stadium Nasional My Dinh, di Hanoi, malam ini.
Pengadil perlawanan dari Jepun, Ryuji Sato, melayangkan dua kad merah masing-masing kepada penyerang Vietnam, Nguyen Van Toan pada separuh masa pertama dan pemain pertahanan negara, Muhammad Azam Azmi Murad pada babak kedua atas kesalahan yang meragukan.
Pada aksi yang berlangsung dalam cuaca sejuk dan berangin itu, Vietnam tidak memberi laluan mudah, namun Malaysia cepat menyesuaikan diri bagi mengimbangi perlawanan sebelum memberi amaran menerusi percubaan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit kesembilan.
Kesilapan pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar mengeluarkan bola daripada kawasan kotak penalti pada minit ke-20 hampir membawa padah apabila bola tepat ke kaki Nguyen Hoang Duc yang menyaksikan rembatan padu kaki kirinya tersasar.
Sembilan minit kemudian, gelanggang keramat skuad ‘Golden Star Warriors’ itu bergema selepas skuad bimbingan Park Hang Seo mendahului hasil tandukan penyerang Nguyen Tien Linh yang melompat tinggi untuk menyambut sepakan penjuru ketua pasukan Do Hung Dung.
Vietnam dipaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-32 selepas Van Toan menerima kad kuning kedua kerana mengasari Dominic Tan sebelum Malaysia terlepas peluang keemasan untuk meledak gol penyamaan apabila percubaan R.Ruventhiran dalam kotak penalti gagal tepat ke sasaran pada minit ke-37.
Menghampiri rehat, Muhammad Mukhairi mempunyai dua peluang terbaik untuk meledak jaringan namun tandukannya pada minit ke-41 dan rembatan dari jarak dekat berjaya ditepis keluar penjaga gol, Dang Van Lam.
Bersambung babak kedua, rentak pasukan negara bimbingan Kim Pan Gon terjejas apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam dan melayangkan kad merah kepada Muhammad Azam dengan mendakwa pemain negara itu melakukan kekasaran ke atas Doan Van Hau di luar padang.
Kesempatan itu digunakan sebaiknya Que Ngoc Hai untuk meletakkan pasukan selesa mendahului selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.
Pasukan negara membuat pertukaran dengan membawa masuk penyerang muda, Nur Shamie Iszuan Amin dan pemain naturalisasi Sergio Aguero dalam usaha memburu jaringan, namun percaturan itu gagal membuahkan hasil.
Sebaliknya, Vietnam terus melebarkan jaringan hasil penyudah Nguyen Hoang Duc yang menerima umpanan pemain gantian Nguyen Quang Hai pada minit ke-83 sekali gus menoktahkan kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah berdepan Malaysia sejak 2014.
Kemenangan itu membolehkan Vietnam merampas kedudukan pendahulu Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.
Sementara Malaysia yang telah beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua dengan turut mengumpul enam mata diikuti Singapura ketiga (enam mata), manakala Myanmar dan Laos tercorot tanpa sebarang mata.
Dalam pada itu, Singapura meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan Laos 2-0 pada satu lagi aksi kumpulan di Stadium Nasional KM16 di Vientiane yang berlangsung pada sebelah petang.
Pemain pertahanan, Irfan Fandi menanduk masuk gol pembukaan Singapura pada minit ke-32 sebelum skuad bimbingan Takayuki Nishigaya itu memperoleh jaringan kedua pada lewat permainan menerusi rembatan pemain gantian Shawal Anuar pada masa kecederaan babak kedua.
Singapura akan menentang Malaysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 3 Jan depan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai