Agong berangkat ke Qatar sempena Piala Dunia
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata lawatan khas itu merupakan atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
“Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia FIFA itu, Seri Paduka turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim.
“Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar, dalam rangka lawatan khas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Dis.
Sebelum ini, persilaan peribadi Sheikh Tamim dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos lepas.
Al-Sultan Abdullah merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari 2015 hingga 2019.
Bagaimanapun susulan pemilihan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal tahun 2019, Al-Sultan Abdullah telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai