Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Belanjawan 2023 dapat bantu realisasi emas Olimpik 2024'

Peruntukan keseluruhan RM977.54 juta bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2023 dapat membantu kementerian itu dalam usaha merealisasikan kilauan emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata peruntukan bagi Program Podium, yang termasuk dalam jumlah RM154 juta untuk pembangunan sukan, penting bagi pihaknya meneruskan program persediaan atlet berprestasi tinggi menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Peruntukan kepada sektor sukan diutamakan dan tiada potongan kepada usaha kita memperkasa industri sukan. Belanjawan ini dapat menyerlahkan potensi atlet berprestasi tinggi di bawah Program Podium,” katanya pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) hari ini.

Ahmad Faizal berkata dana itu juga dapat membantu MSN untuk meneruskan program persediaan atlet untuk menghadapi dua temasya sukan tahun depan, iaitu Sukan SEA Kemboja 5-17 Mei dan Sukan Asia Hangzhou di China (23 Sept-8 Okt) serta kejohanan kelayakan ke Paris 2024.

Dia menjelaskan peruntukan kepada KBS merangkumi lebih kurang RM621.10 juta bagi tujuan mengurus dan RM356.44 juta untuk pembangunan.

Mengulas mengenai peruntukan RM15 juta bagi Agenda Nasional Malaysia Sihat, Ahmad Faizal berkata ia akan digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan program sukan, rekreasi dan liga di peringkat bawahan di seluruh negara.

“Ini bagi memastikan lebih 50 peratus rakyat Malaysia aktif bersukan lebih lima hari seminggu dengan setiap sesi melebihi 30 minit. Ini merupakan usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Visi Sukan Negara (VSN) 2030, selepas merasmikan sambutan HSN 2022 di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata jangka masa VSN ditetapkan selama 10 tahun kerana mahu memastikan objektifnya, iaitu meningkatkan kumpulan bakat, dapat tercapai supaya negara terus mempunyai atlet pelapis untuk mewakili negara selepas atlet sedia ada menamatkan karier mereka.

Dia turut yakin sasaran penyertaan 4.5 juta rakyat di seluruh negara pada sambutan HSN kali ini dapat dicapai, apabila sambutan di hadapan Istana Kehakiman sahaja sudah menarik lebih 20,000 orang daripada segenap lapisan masyarat menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam, turut mengumumkan peruntukan RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

-Bernama