Timb menteri: Kenapa perlu jadi isu, bekas juara olimpik jual kraftangan OKU?
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker mempersoalkan mengapa perniagaan bekas atlet renang paralimpik negara Koh Lee Peng yang menjual produk kraftangan orang kurang upaya (OKU) di kaki lima perlu dijadikan isu.
Ini kerana menurut Ti, ketika dia berjumpa dengan Koh, atlet tersebut memilih untuk menjalankan perniagaannya itu kerana dapat menjana pendapatan yang lumayan.
“Beliau juga meminta orang ramai tak kacau dia. Itu adalah pilihan dia. Dia dapat menjalani urusniaga, dia dapat pendapatan yang baik.
“Mengapa pula dijadikan isu? Seakan-akan itu adalah masalah kerajaan. Walhal itu adalah pilihan (dia).
“Dan kita memang telah ada program-program yang telah diadakan dan beliau memilih untuk menjual tisu kerana pendapatan yang banyak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada June Leow Hsiad Hui (PH - Hulu Selangor).
Kisah Koh menjadi perhatian selepas seorang pengguna Twitter menceritakan kehidupan pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan Para Asean dari 2001 hingga 2005 itu, selepas bertemunya berniaga di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ti kemudian berkata kehadiran Koh di Kuala Lumpur ketika itu hanyalah untuk sementara, memandangkan dia menetap di Pulau Pinang.
“Masa kat Pulau Pinang juga berlaku, tetapi Adun dan wakil rakyat (di Pulau Pinang) pada masa itu, ahli parlimen tidak menghiraukan beliau.
“Apabila beliau sampai di Bukit Bintang, (ceritanya) di-viralkan seakan-akan ahli paralimpik itu dianiayai atau tak dijaga oleh kerajaan, walhal apabila saya berjumpa dengan atlet berkenaan, beliau amat puas dengan apa yang dilakukan oleh beliau,” katanya.
Jawapannya itu kemudian dibalas oleh Steven Sim (PH - Bukit Mertajam) yang mempersoalkan pertemuan Ti dengan Koh, kerana menurut bekas timbalan menteri belia dan sukan itu, dia baru sahaja bertemu dengan Koh pada Isnin lalu.
“Beliau memang mengeluh nasib dia dan janganlah KBS pula ‘lontar bola ini dan tendang kepada kerajaan negeri.’ Ini memang tugas KBS,” kata Sim.
Dia kemudian bertanya sama ada Majlis Sukan Negara (MSN) mempunyai rancangan untuk memberikan pekerjaan atau kontrak perolehan kepada atlet seperti Koh yang ingin melakukan perniagaan, dan bukannya menjadi jurulatih atau pegawai sukan.
“Mungkin KBS boleh beli kraftangan itu sebagai cenderahati untuk diberikan semasa temasya sukan ataupun aktiviti-aktiviti kerajaan, bukan saja KBS tetapi juga kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Ti tidak menjawab soalan Sim tetapi sebaliknya mengulangi jawapannya yang terdahulu.
Sebelum ini, KBS telah menawarkan Koh pekerjaan lain, namun Koh bertekad untuk meneruskan perniagaannya.
Kata Ti, semua pihak harus menghormati keputusan Koh tanpa menghinanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai