Politik punca tiada acara terjun wanita dalam Sukma - Pandelela
Campur tangan politik tidak harus terlibat dalam bidang sukan, kata ratu terjun negara Pandelela Rinong.
“Untuk bergiat dalam sukan yang kita cintai, banyak tenaga dan pengorbanan telah dicurahkan.
“Oleh itu, tolong jaga kebajikan atlet dan ketepikan politik,” katanya .
Dalam siri tweet di media sosial tengah malam semalam, dia mendakwa terdapat alasan politik di sebalik ketiadaan acara melibatkan perenang wanita dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, September depan.
“Saya amat sedih mendengar tiada acara untuk wanita dalam Sukma tahun ini kerana alasan politik.
“Para junior saya pasti amat sedih,” katanya tanpa menghuraikan lanjut dakwaan itu.
Dia minggu lalu, The Star melaporkan 12 acara digugurkan daripada Sukma kerana penyertaan negeri-negeri tidak menggalakkan.
Sukan terjun dilaporkan paling terjejas.
Lima acara digugurkan dan semua melibatkan kategori wanita, iaitu 1m papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama dan 10m papan anjal seirama.
Temasya itu mensyaratkan sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri mengambil bahagian bagi membolehkan ia dipertandingkan.
Majlis Sukan Negara dan persatuan-persatuan sukan dilapor bimbang berkaitan perkembangan itu dan mengusahakan atlet supaya dapat bertanding di peringkat negeri bagi mendapatkan pendedahan.
Sementara itu, Pandelela berkata telah bercakap dengan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faisal Azumu dan Persekutuan Renang Malaysia berkaitan perkara itu.
Pandelela berkata mereka sedar perkara itu dan mencari penyelesaiannya.
“Mari bekerjasama dan saling mendukung antara satu sama lain untuk masa depan sukan terjun Malaysia,” katanya.
Sukma berlangsung setiap dua tahun melibatkan 16 sukan utama dan enam sukan pilihan.
Temasya kali ini akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 hingga 24 September.
Terdahulu, kerajaan Sarawak dilaporkan akan membuat rayuan mengenai perkara itu memandangkan terjun merupakan lubuk emas mereka.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Gerald Rentap Jabu sebelum ini berkata, hanya tiga negeri mengesahkan penyertaan untuk acara berkenaan.
Acara lain yang dilaporkan turut terjejas ialah kanu, karate, olah raga, tinju angkat, berat dan judo.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai