Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kaji impak sukan lasak kepada alam semula jadi

Aktiviti sukan semestinya banyak memberi manfaat kepada kesihatan kerana ia melibatkan aktiviti fizikal. Menurut laporan Kementerian Belia Sukan Malaysia amalan gaya hidup sihat masyarakat Malaysia semakin meningkat jika dibandingkan hanya 40% sahaja direkodkan pada 2016. 

Dengan penglibatan aktiviti fizikal, badan menjadi cergas, bahkan minda juga cerdas dan proaktif. 

Penglibatan dalam aktiviti sukan lasak kian mendapat sambutan hangat dari pelbagai peringkat golongan, sama ada lelaki mahupun wanita yang obses pada cabaran aktiviti lasak dan pengalaman rekreasi dalam persekitaran hutan. 

Lebih 120 lokasi hutan di Malaysia milik kerajaan sering menjadi tumpuan kunjungan orang awam antaranya Taman Negara, Taman Negeri, Taman Eko Rimba. Malah terdapat juga tapak-tapak rekreasi milik persendirian yang mampu menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi berasaskan hutan. 

Dengan sukan lasak yang diperkenalkan ini, sektor rekreasi dan ekopelancongan juga semakin meningkat dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan masyarakat setempat dengan menyediakan peluang perkhidmatan perniagaan yang berasaskan sukan lasak. 

Tidak setakat itu, pelbagai penginapan ringkas, sederhana dan moden turut diperkenalkan. Penduduk kampung mengambil peluang mencari sumber rezeki dengan menawarkan perniagaan perkhidmatan rekreasi seperti hotel dan chalet, rumah inap desa, jualan makanan dan minuman serta barangan kraftangan dan cenderahati kepada pelancong. 

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia merekodkan hampir RM168 billion hasil pendapatan setahun melalui sektor ekopelancongan ini. Aktiviti sukan lasak mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dari Malaysia malah antarabangsa. Pelancong dari luar negara tertarik untuk berkunjung ke Malaysia kerana keindahan alam tropika serta kepelbagaian flora dan fauna yang dimiliki dalam negara ini. 

Malaysia merupakan negara kesembilan di dunia yang menerima pelancong asing dengan pendapatan kasar RM1 billion setiap minggu sebelum pandemik. 

Antara aktiviti sukan lasak dalam persekitaran hutan yang menjadi pilihan utama seperti memanjat gunung dan bukit, merentas hutan, berbasikal lasak, pemanduan kenderaan 4x4 dan pemanduan jentera ATV, menunggang kuda, menjelajah gua, berkhemah dan pelbagai lagi aktiviti rekreasi sukan lasak yang ditawarkan di pelbagai lokasi menarik. 

Aktiviti rekreasi sukan lasak berasaskan air yang mendapat tempat pula seperti berkenu, berkayak arus deras, menaiki bot menyusuri sungai dan laut, memandu jetski, menyelam skuba dan memancing laut dalam. 

Kesan negatif pada hutan

Keseronokan menjalani aktiviti lasak ini sudah pasti memberi impak negatif kepada persekitaran dan komuniti hutan. Antara kesan akibat menebas pokok renek dan pokok-pokok yang mempunyai nilai tinggi untuk tujuan pembinaan tapak perkhemahan dan laluan merentas hutan; pembakaran unggun api yang boleh menyumbang kepada kebakaran hutan secara tidak sengaja dan kecederaan pokok hutan, pembuangan sampah serta sisa makanan dan lain-lain. 

Untuk aktiviti perkelahan pula, tindakan mengikat buaian atau ‘hammock’ juga menyebabkan kecederaan pada pokok dan boleh mengakibatkan perkembangannya terjejas. Sukan bermotor juga turut menyebabkan kerosakan struktur asal tanah dan membantutkan perkembangan pokok renek disebabkan oleh laluan kenderaan berat. 

Selain itu, tumpahan minyak jentera di atas air seperti jetski dan bot akan mengganggu kewujudan spesies pokok di kawasan berair serta mengakibatkan pencemaran air sungai dan ekosistem hidupan air serta haiwan liar daratan yang menggunakan air di persekitaran tersebut. 

Tanpa kita sedar dengan kunjungan beramai-ramai ke hutan turut menyumbang penyebaran penyakit berjangkit daripada manusia kepada haiwan liar dan sebaliknya. Penyebaran penyakit berjangkit seperti selsema, batuk, Covid, tibi dan lain-lain boleh berlaku melalui pembuangan sisa makanan secara tidak terurus. Juga ada yang turut berkongsi sisa makanan bersama haiwan atas dasar kesian. 

Ini secara tidak langsung akan mengubah diet pemakanan haiwan yang diberikan oleh manusia setiap kali aktiviti dijalankan. Haiwan akan menjadi obes dan bersifat tidak semula jadi dalam mencari makanan mereka sendiri. Tambahan pula, dengan memberi makanan ini turut mengundang penyebaran penyakit kencing tikus atau ‘leptospirosis’ yang merupakan penyakit yang sering dilaporkan membahayakan peserta dan pengunjung yang melibatkan diri dalam aktiviti hutan. 

Amat menyedihkan, dengan aktiviti sukan lasak yang sering diadakan khususnya pada setiap hujung minggu atau cuti umum seolah-olah mengubah suasana ekosistem hutan yang tenang dan mendamaikan bertukar menjadi kawasan yang sibuk dan bising. Permintaan rekreasi sukan lasak yang tinggi telah menyebabkan gangguan persekitaran kepada pengguna yang ingin menikmati keseronokan hidup di dalam persekitaran damai dalam hutan semula jadi.

Adanya permintaan tinggi terhadap aktiviti dalam hutan, sukan lasak semakin menjadi tumpuan ramai dan dianggap sebagai sukan komersial sehingga terlepas pandang akan impak kepada alam sekitar. Kerakusan pengusaha perniagaan dan penganjur aktiviti dalam mengaut keuntungan, pelbagai pencemaran berlaku dan banyak spesies hidupan liar berpindah ke kawasan baru untuk kelangsungan hidup. 

Hutan serta biodiversitinya adalah tempat untuk manusia meneruskan kehidupan. Khazanah alam hutan yang unik membekalkan kepada manusia sumber makanan, ubat-ubatan dan hasil industri. Hutan juga menjadi pusat rujukan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang kepakaran saintifik dan juga tapak pembangunan manusia sejagat. Tanpa hutan dan biodiversiti, kehidupan alam tidak seimbang, fungsi asal hutan juga tergugat dalam memberikan pelbagai manfaat kepada manusia dan juga negara amnya. 

Sumber biodiversiti

Oleh itu, pelancongan rekreasi yang melibatkan aktiviti sukan lasak dan mencabar ini sewajarnya perlu dilaksanakan secara terancang dan bijak agar tidak menjejaskan sumber biodiversiti hutan negara. Banyak hidupan liar terancam dan menghampiri kepupusan berpunca daripada aktiviti sukan lasak yang tidak terkawal. 

Kekayaan khazanah alam yang kita miliki hari ini adalah pinjaman sementara untuk dijaga secara lestari dengan harapan generasi seterusnya juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi ini dari hasil peninggalan nenek moyang mereka. Hilang sumber biodiversiti, maka hilanglah warisan asli dan maruah negara. 

Dengan sumber biodiversiti yang masih ada ini, perlulah diberi perhatian dan perlindungan segera oleh pihak yang bertanggungjawab melalui ketegasan dalam menjalankan penguatkuasaan bagi mengurangkan impak negatif rekreasi kepada alam semulajadi. Sebagai langkah konservasi melalui penguatkuasaan, kaedah limitasi daya tampung ataupun ‘carrying capacity’ di setiap kawasan rekreasi yang berkepadatan tinggi pengunjung dalam mengurangkan impak negatif rekreasi kepada sumber alam sekitar. 

Bagi menjaga kelestarian biodiversiti negara, ‘Kempen kurangkan impak rekreasi alam semula jadi’ perlu ditekankan dalam masyarakat agar kepentingan memelihara biodiversiti khazanah negara ini terus disanjung tinggi. 

Selain itu, badan kerajaan dan bukan kerajaan juga perlu berganding bahu memantau dan mengawal setiap aktiviti lasak yang diwujudkan di seluruh pelusuk negara agar hutan dan komunitinya terus kekal dalam bumi Malaysia yang tercinta ini. 


PROF MADYA DR HASMAHZAITI OMAR merupakan pensyarah Program Ekologi Biodiversiti di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, manakala DR M ADLI MOHD SIDI merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang Kampus Jengka, Pahang. Penulis boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.