KBS hormat keputusan Zii Jia tak sertai Sukan Komanwel
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghormati keputusan pemain profesional negara Lee Zii Jia yang menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos.
Menterinya Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya akur dengan Zii Jia yang mahu memberi fokus kepada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos depan.
“Saya sudah bercakap dengan dia sendiri dan dia memohon maaf kerana sebenarnya bersungguh-sungguh hendak mewakili negara (Sukan Komanwel) tetapi jadual begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan yang berat.
"Dia sebenarnya berasa kesal kerana tidak dapat mewakili Malaysia untuk (sasaran) membawa pingat emas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh hari ini.
Rabu lepas, pemain kelima terbaik dunia itu memutuskan untuk tidak membuat penampilan pada Sukan Komanwel disebabkan jadual padat yang diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping berhasrat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia.
Kekosongan ditinggalkan juara Asia itu memberi peluang buat Ng Tze Yong menggalas tugas sebagai perseorangan lelaki negara.
Pada temasya di Gold Coast 2018, skuad badminton membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa dengan pingat emas dihadiahkan jaguh badminton negara Lee Chong Wei dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Vivian Hoo
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai