Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ronaldo risau Man United belum beli pemain baru

Cristiano Ronaldo menyuarakan kerisauannya berhubung langkah Manchester United yang dilihat kurang aktif ketika jendela perpindahan pada masa ini.

Menurut The Mirror, Ronaldo mungkin meninggalkan Old Trafford jika kelab gergasi Eropah itu gagal membawa pemain baru yang diperlukan ketua jurulatih Erik ten Hag.

Kerisauan itu ditambah pula dengan pencabar utama mereka seperti Manchester City, Liverpool, Tottenham dan Arsenal sudah pun membuka langkah untuk menandatangani pemain bagi mengukuhkan skuad masing-masing.

Terdahulu, Ten Hag dalam temu bual sulung ketika tiba di Old Trafford berkata mereka perlu mebina sebuah pasukan yang mampu untuk bersaing.

“Saya ingin bina sebuah pasukan yang boleh bekerjasama, yang boleh bersatu-padu dan berkebolehan untuk memberikan keputusan yang memberangsangkan.

“Kami mahu bermain di Theatre of Dreams dan mempersembahkan permainan yang mengancam kepada penonton, dan yang paling penting, kita harus menang,” katanya.

United dikhabarkan semakin hampir untuk memiliki pemain tengah Christian Eriksen dari Brentford dan Frenkie De Jong dari Barcelona tetapi setakat ini masih belum mencapai sebarang kata persetujuan yang muktamad.

Pada masa sama, sebanyak enam pemain telah meninggalkan kelab itu iaitu Edinson Cavani, Lee Grant, Jesse Lingard, Juan Mata, Nemanja Matic and Paul Pogba.

Ronaldo bagai sirih pulang ke gagang apabila kembali ke kelab lamanya iu pada musim lalu dengan hasrat untuk menjulang trofi dan mengembalikan zaman kegemilangan United seperti pada era Sir Alex Ferguson.

Namun, United hanya mampu menamatkan musim lalu di tangga keenam liga, bermakna tidak layak beraksi di Liga Juara-juara Eropah untuk musim depan.