Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Van Basten anggap Messi tak ada kualiti jadi ketua

Salah seorang bintang bola sepak Belanda, Marco van Basten menganggap Lionel Messi tidak sesuai disetandingkan dengan seorang lagi legenda sukan itu, Diego Maradona.

Bercakap dalam satu temu bual dengan France Football, van Basten berkata walaupun kedua-dua mereka berasal dari Argentina, ada sesuatu yang kurang pada Messi.

Berbanding Maradona, kata van Basten, Messi tidak mempunyai ciri seorang pemimpin untuk menerajui pasukan kebangsaan Argentina untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Messi adalah seorang pemain yang berkaliber, tetapi jika dibandingkan kedua-dua mereka, Maradona sentiasa mempunyai personaliti yang diperlukan sebuah pasukan.

“Messi bukan seseorang yang sesuai kita letakkan di hadapan ketika pergi berperang,” katanya yang pernah dianugerahkan Ballon d'Or sebanyak tiga kali sebelum terpaksa bersara awal pada umur 30 tahun kerana kecederaan.

Selain mewakili Belanda, van Basten pernah menyarung jersi bersama beberapa kelab elit dunia termasuk Ajax dan AC Milan.

Sebagai penyerang dia telah menjaringkan lebih daripada 300 gol sepanjang karier seniornya. Dia juga pernah menjadi pengurus untuk Ajax dan Belanda.

Dalam temu bual tersebut van Basten turut menyenaraikan tiga pemain bola sepak yang dianggapnya terbaik sepanjang zaman. Seperti dijangka dia tidak memasukkan nama Messi dalam senarai itu.

“Pele, Maradona dan Johan Cruyff pada pendapat saya adalah pemain terbaik dalam sejarah dunia bola sepak,” katanya.

Nama lain yang disebut van Basten sebagai pemain yang diseganinya ialah Cristiano Ronaldo, Michel Platini dan Zinedine Zidane.

Untuk rekod, walaupun mengkritik Messi, pada awal tahun lalu van Basten pernah mendakwa sesiapa yang memilih Cristiano Ronaldo berbanding Messi adalah mereka yang tidak mempunyai pengetahuan tentang bola sepak.