Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

K'jaan pertimbang imbuhan, sambutan untuk Harimau Malaya

Kerajaan akan mempertimbang pemberian imbuhan dan penganjuran sambutan keraian sempena kejayaan skuad Harimau Malaya mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2023, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

"Insya-Allah saya akan bincangkan perkara tersebut dengan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu serta akan turut berbincang bersama FAM.

"Ia mengenai keraian atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan, kita akan berbincang mengenainya," kata Ismail Sabri kepada pemberita selepas hadir dalam persidangan Parlimen Belia Malaysia 2022 di Bangi hari ini.

Ismail Sabri juga berharap Harimau Malaya mampu mencatat keputusan terbaik dalam aksi Piala Asia 2023.

"Ini cuma ujian pertama yang kita lepasi, ujian lebih besar adalah pada Piala Asia nanti untuk dapatkan tempat (keputusan) terbaik dalam pertandingan.

“Diharapkan semangat juang ini dapat diteruskan untuk mengembalikan nama Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat Asia," katanya.

Semalam, skuad pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada edisi 1980 di Kuwait. Skuad Harimau Malaya pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2007 namun ketika itu ia mendapat tiket selaku tuan rumah.

- Bernama