Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya hanya jurulatih ‘kecil’ - Pan Gon

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon menggambarkan dirinya sebagai jurulatih 'kecil' walaupun berjaya membawa Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 malam tadi.

Pan Gon berkata kejayaan bersejarah dicapai skuad Harimau Malaya itu bukanlah hanya kerana dia seorang tetapi sokongan diberikan semua pihak buatnya membangunkan bola sepak negara ini.

"Awak tahu saya jurulatih 'kecil', saya datang ke sini, saya minta semua orang membantu dan mendapat sokongan istimewa daripada pasukan Liga Super dan saya minta banyak daripada FAM, saya rasa ia mencabar buat mereka tetapi dia (presiden) cuba yang terbaik bagi menjadikan ia kenyataan.

"Seperti dalam kem latihan, kami banyak berubah dalam aspek infrastruktur, kami ada yang terbaik. Saya tidak buat apa-apa, semua orang di sini melakukan tugas yang bagus," kata pengendali dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu selepas perlawanan dengan Bangladesh malam tadi.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia itu, Malaysia mencatat kemenangan selesa untuk mengumpul enam mata bagi tempat kedua di belakang Bahrain seterusnya menempah tiket ke kejohanan itu selaku lima pasukan naib juara terbaik.

Pan Gon berkata dia juga menjadikan pencapaian baik Johor Darul Ta'zim's (JDT) yang layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC buat kali pertama April lalu sebagai contoh bagi membimbing pasukannya ke Piala Asia.

Bekas ketua jurulatih Hong Kong dan pengarah pasukan kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) itu berkata, selain JDT, kelab tempatan lain juga memainkan peranan bagi menghasilkan pemain berkualiti.

"Saya boleh melihat ramai pemain berpotensi dan bagus, inilah yang dilakukan bola sepak Malaysia, bukan saya," katanya sambil mengakui jika Malaysia tiada asas bola sepak yang kuat, akan sukar buatnya membawa dua misi dtetapkan iaitu layak ke Piala Asia serta Piala AFF selepas ini.

- Bernama