Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bangladesh nak robek gawang M'sia seawal 10 minit pertama

Bangladesh berazam merobek gawang gol skuad Harimau Malaya dalam tempoh 10 minit pertama supaya dapat menguasai perlawanan menjelang aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Justeru jurulatih Bengal Tigers itu, Javier Fernandez Penato, mahu skuadnya mencipta kejutan walaupun sedar kelebihan dimiliki Harimau Malaya beraksi di gelanggang sendiri serta berada di ranking dunia lebih tinggi.

Menurutnya, berdepan dengan Malaysia dapat memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa skuad berkenaan tetap mampu memberikan sesuatu kepada negara.

“Beraksi di hadapan sehingga 70,000 penonton hanya memberi motivasi tambahan kepada pemain dan suasana tersebut sempurna untuk membuktikan kepada semua orang bahawa kami boleh bersaing dengan sesiapa saja.

“Kami mahu memberikan sesuatu kepada penyokong kami, kami mahu pulang dengan sesuatu yang lain untuk diperkenalkan kepada negara. Jadi sudah pasti kami akan beraksi bermati-matian dan memberikan yang terbaik esok,” katanya pada sidang media praperlawanan di Petaling Jaya hari ini.

Justeru, kata Penato, skuadnya menyasarkan untuk ‘membunuh’ Harimau Malaya yang berada di ranking ke-154 dengan memecah kebuntuan gol terlebih dahulu dalam 10 minit pertama.

“Malaysia akan bermain bermati-matian dan kami akan cuba melumpuhkan gerakan lawan dalam tempoh 10 minit pertama.

"Kami perlu konsisten sepanjang saingan serta perlu kompetitif dan setiap gerakan esok akan memberi kesan,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Bangladesh - yang menghuni ranking ke-188 dunia - sudah tersingkir daripada persaingan merebut slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China tahun depan selepas tewas 0-2 kepada Bahrain dan 1-3 di tangan Turkmenistan sebelum ini.

Selepas dua perlawanan, Bangladesh menghuni tangga tercorot Kumpulan E tanpa sebarang mata manakala Malaysia dan Turkmenistan berada di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul tiga mata sementara Bahrain mengungguli kumpulan dengan enam mata.

- Bernama