Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syafiq ingatkan rakan jangan lepas peluang ke Piala Asia

Malaysia tidak boleh tercicir mata ketika berdepan Bangladesh pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 malam esok, kata penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad.

Pemain JDT itu berkata pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah peluang keemasan buat skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Dia berkata Malaysia sudah menunggu lama untuk kembali membuat penampilan di pentas kejohanan bola sepak berprestij Asia itu dan jika pasukan negara terlepas peluang tersebut ia akan menjadi satu kerugian besar.

“Kita dah terlepas untuk dapatkan mata dalam perlawanan lepas (melawan Bahrain) dan ini (menentang Bangladesh) adalah peluang terbaik kita untuk layak ke Piala Asia kerana mempunyai kelebihan bermain pusingan kelayakan sebagai tuan rumah.

“Jadi kita perlu lupakan perlawanan lepas dan memandang ke hadapan, ini peluang kita layak secara merit,” katanya pada sidang media praperlawanan di Petaling Jaya hari ini.

Selepas dua perlawanan, Bahrain berada di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata, manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengumpul tiga mata di tempat kedua dan ketiga.

Bangladesh pula di kedudukan tercorot selepas gagal memungut sebarang mata.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023.

Untuk rekod penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan itu ialah pada 2007 iaitu ketika menjadi tuan rumah bersama.

Namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Berdasarkan ranking lima naib juara terbaik selepas dua perlawanan, Malaysia berada di kedudukan terakhir. Thailand, Kyrgyzstan dan India berada di posisi teratas dengan mengumpul enam mata manakala Filipina (empat mata) di tempat keempat.

“Keputusan dalam kumpulan lain kita perlu waspada juga tetapi apa yang paling penting ialah perlawanan kita sendiri, apabila kita menang insya-Allah kita akan layak ke peringkat seterusnya,” kata Syafiq.

Sementara itu, pemain berusia 26 tahun itu yang hanya masuk sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan lalu berazam membuktikan kemampuannya membantu pasukan mencipta kemenangan sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama esok.

Mengulas mengenai video tular seorang peminat kecil menangis di stadium selepas pasukan negara tewas 1-2 kepada Bahrain Sabtu lepas, Syafiq berkata dia dan rakan sepasukan akan menebus kekecewaan tersebut untuk semua rakyat Malaysia.

- Bernama