Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aksi tentang Brunei patut lebih baik - Pan Gon

Prestasi Harimau Malaya menentang Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sepatutnya lebih baik biarpun membelasah lawan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Kim Pan Gon menyedari ada kalanya pasukannya kehilangan rentak dalam perlawanan menentang Brunei, yang rankingya jauh lebih rendah daripada Malaysia dengan berada di tangga ke-154 dalam ranking FIFA.

“Permainan kami sepatutnya lebih baik, saya tidak mengira berapa banyak gol yang kami jaringkan namun secara keseluruhan kami boleh melakukan prestasi lebih baik.

“Mesti ada rentak sepanjang perlawanan, seperti yang anda lihat dalam bola sepak peringkat tinggi mereka tidak terlalu menghentikan rentak, saya tidak boleh katakan saya tidak gembira tetapi saya cuba memahami pemain kita (kehilangan rentak),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu berkata beliau tidak berada di sini untuk mengadu tentang prestasi pemainnya kerana beliau percaya mereka telah memberikan yang terbaik menentang pasukan ke-191 terbaik dunia itu.

Pan Gon turut merasakan pemainnya mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baru yang beliau mahu lihat di atas padang dan memuji usaha mereka untuk memberikan komitmen 100 peratus semasa sesi latihan.

Jurulatih berusia 53 tahun itu berkata Malaysia akan bermain lebih baik jika mereka bertemu pasukan yang lebih kuat dan percaya pasukan negara akan mempamer prestasi baik dalam perlawanan persahabatan akan datang, menentang bekas pasukan kendaliannya, Hong Kong pada 1 Jun.

Dalam pada itu, Pan Gon menggesa peminat dan media supaya terus memberikan sokongan padu dan bukan sekadar melancarkan ‘serangan’ ke atas pemain sekiranya mereka melakukan sebarang kesilapan dalam perlawanan.

“Anda mungkin marah atau kecewa namun kami cuba sedaya upaya untuk membanggakan anda dengan memberikan prestasi yang lebih baik dan bukannya bola sepak negatif. Jika mereka (pasukan) menangis, kami menangis, kami mesti menyokong penuh pemain,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau cukup gembira melihat sokongan daripada peminat Malaysia yang hadir di stadium untuk menonton perlawanan pertamanya sejak beliau mengambil alih tugas sebagai pengurus skuad kebangsaan baru Februari lepas, terutama 'Ultras Malaya', sambil mereka terus melaung bagi menaikkan semangat pemain sepanjang perlawanan.

Selain tempang tanpa kehadiran beberapa bintang utama menentang Malaysia, pengendali Brunei, Rosanan Samak pula mengakui pemainnya kurang cergas memandangkan mereka berdepan kekangan mendapatkan minit permainan selepas liga bola sepak di negara itu masih lagi dihentikan susulan Covid-19.

Harimau Malaya akan meneruskan aksi persahabatan menentang Hong Kong 1 Jun ini sebelum berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

- Bernama