Badminton gagal pertahan emas perseorangan lelaki, wanita
Pemain muda badminton negara gagal mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan SEA, selepas cabaran mereka berakhir pada peringkat suku akhir di Gimnasium Bac Giang, di Hanoi hari ini.
Lee Shun Yang yang berkedudukan 276 dunia, ternyata bukan lawan pemain ke-18 dunia Kunlavut Vitidsam dari Thailand, apabila tewas 11-21, 11-21 dalam masa 39 minit, dalam acara perseorangan lelaki.
Cerita sama berlaku pada perseorangan wanita, apabila Siti Nurshuhaini Azman (ke-237 dunia) tewas kepada pemain ke-10 dunia Pornpawee Chochuwong dari Thailand. Pornpawee akan berhadapan Kusuma Wardani dari Indonesia pada pusingan berikutnya.
Bagaimanapun harapan pingat masih ada bagi acara beregu campuran negara apabila dua wakil negara layak ke separuh akhir.
Pasangan pilihan kedua Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengetepikan cabaran Chaloempon Charoenkitamorn-Laksika Kanlaha dari Thailand 21-8, 21-16, dan akan berhadapan pasangan pilihan ke tiga Adnan Maulana-Mychelle Crhystine dari Indonesia.
Pasangan pilihan keempat Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga menempah tempat ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan Singapura Hee Yong Kai-Tan Wei Han, 21-19, 21-19.
Mereka akan berhadapan cabaran sengit dengan berhadapan pasangan pilihan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, esok.
Peluang juga masih terbuka buat Malaysia dalam acara beregu wanita, apabila pasangan Cheah Yee See-Cheng Su Hui mengalahkan Airah Albo-Thea Pomar dari Filipina 21-13, 21-11. Menanti mereka di separuh akhir pasangan dari Thailand Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.
Pada Sukan SEA Filipina 2019, Malaysia menang emas menerusi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki, S. Kisona (perseorangan wanita) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), selain dua perak dan lima gangsa.
Kesemua juara bertahan tidak menyertai Sukan SEA kali ini apabila Persatuan Badminton Malaysia memutuskan untuk menghantar skuad muda ke temasya dwitahunan itu, manakala skuad senior menyertai Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai