Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pan Gon panggil 29 pemain ke kem latihan kelayakan Piala Asia 

Seramai 29 pemain dipanggil ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon, bagi menyertai kem latihan pusat bermula 19 Mei (Khamis) sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1.

Menerusi senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), 20 daripada 25 pemain yang dibawa ke Singapura pada perlawanan siri tiga negara FAS 2022 Mac lepas dikekalkan, manakala sembilan lagi adalah pemain baharu.

Sembilan pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha dan Guilherme de Paula, Syahmi Safari, Darren Lok serta Nazmi Faiz Mansor.

Tiga pemain iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, Ramadhan Saifullah Usman dan Zhafri Yahya, adalah antara 11 pemain yang diletakkan dalam senarai bersedia.

“Seramai 23 pemain akan didaftarkan dalam senarai pendaftaran akhir bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, manakala baki pemain lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan pada senarai akhir itu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Pan Gon yakin dengan keupayaan 29 pemain yang dipanggil untuk dua perlawanan antarabangsa Tier 1 dan perlawanan Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Beliau berkata 29 pemain yang dipanggil adalah pemain utama manakala 11 pemain lain diletakkan di bawah senarai bersedia, jika terdapat sebarang perubahan.

“Mungkin ia suatu kejutan untuk beberapa nama pemain (untuk dipanggil) tetapi saya tidak mahu menyesal, jadi saya mahu untuk melihat kesemua kekuatan dengan mata saya sendiri … buat masa sekarang, 29 pemain dan akhirnya dikurangkan menjadi 20 pemain camput tiga (pemain simpanan) jadi ia satu suasana persaingan yang amat tinggi,” katanya kepada media di Wisma FAM di Kuala Lumpur hari ini.

Skuad Harimau Malaysia diatur bertemu Brunei (27 Mei) dan Hong Kong (1 Jun) sebagai aksi persahabatan pemanas badan, sebelum menyertai Kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dari 8-14 Jun.

Harimau Malaya akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 itu.

- Bernama