Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anak buah Pan Gon akur ditewaskan Singapura

Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tipis 2-1 kepada Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Stadium Nasional, Singapura malam tadi.

Penyerang muda berusia 22 tahun Ikhsan Fandi, yang juga anak kepada legenda bola sepak Singapura Fandi Ahmad, menjadi watak utama pada aksi Derbi Seberang Tambak itu, apabila menjaringkan dua gol bagi skuad Singa di bawah kendalian jurulatih sementara Nazri Nasir.

Pengendali baharu skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon, yang memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Filipina pada Rabu lalu, perlu melakukan banyak lagi kerja, walaupun secara amnya skuad negara menunjukkan peningkatan, berbanding Piala AFF 2020 pada Disember lalu.

Pada aksi ini, Pan Gon hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama, dengan membawa masuk kapten Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safawi Rasid, menggantikan Ahmad Khuzaimi Piee di pertahanan tengah dan Arif Aiman Hanapi di serangan.

Skuad negara yang bermula garang, hampir membuka jaringan seawal 38 saat, namun percubaan Safiq Rahim tersasar sedikit di sebelah kiri gawang Singapura.

Safiq sekali lagi mendapat peluang untuk membuka jaringan, selepas menerima hantaran daripada Safawi pada minit ke-20, namun percubaan itu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang Hassan Sunny.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya memecahkan kawalan anak buah Pan Gon dengan terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-30, apabila Ikhsan menolak masuk hantaran silang pendek daripada pemain kelahiran Korea Selatan, Song Ui-young.

Peluang skuad Harimau Malaya untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Safawi pada minit ke-43, turut berjaya dipatahkan oleh Hassan yang menampan keluar bola tersebut.

Bersambung babak kedua, Malaysia mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, selepas pengadil perlawanan Ahmad A'Qashah menghadiahkan sepakan penalti buat Malaysia, apabila Muhammad Safuwan Baharudin mengasari Safawi di dalam kotak penalti.

Namun, sepakan kaki kiri Safawi pada minit ke-47, terkena palang sebelum melambung keluar.

Anak-anak buah Pan Gon akhirnya berjaya menewaskan Hassan, apabila pemain naturalisasi Liridon Krasniqi meledak jaringan pertamanya untuk skuad Harimau Malaya, dengan melengkapkan hantaran Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-57.

Kelalaian benteng negara terus dihukum Ikhsan, yang bijak mengawal bola untuk mengelecek tiga pemain negara, sebelum melepaskan rembatan ke dalam gawang gol pada minit ke-76.

Malaysia terus melakukan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan, namun terpaksa akur dengan keputusan 2-1 itu.

Skuad Harimau Malaya, seterusnya akan beraksi menentang kelab tempatan Albirex Niigata FC dalam aksi tertutup pada Isnin ini (28 Mac).

-Bernama