Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasukan kriket negara bakal beraksi dalam Tri-Siri Nepal

Pasukan kriket kebangsaan Twenty20 (T20) akan beraksi pada Tri-Siri Nepal pada 28 Mac hingga 4 April ini di Tribhuvan University International Cricket Ground di Kirtipur, Nepal.

Berada pada ranking ke-33 dalam Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) T20, lawan lebih kuat iaitu Nepal (13) dan Papua New Guinea (19) pastinya memberi cabaran kepada pemain kriket negara.

Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dalam kenyataan hari ini berkata, Tri-Siri itu adalah langkah yang tepat dan percaya pendekatan holistik mereka akan menggalakkan penyertaan lebih ramai pemain dari pelbagai etnik dan mempromosi kriket ke seluruh dunia.

Skipper Ahmad Faiz Mohammad Noor berkata beliau dan rakan sepasukan telah melakukan persiapan dengan baik dan tidak sabar untuk menghadapi pertandingan tersebut.

“Kita tidak sabar untuk membawa pulang Piala Kejohanan kembali ke Malaysia. Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong penyertaan pasukan (ke kejohanan itu),” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, presiden MCA Mohammed Iqbal Ali berkata kesemua perlawanan akan ditayangkan secara langsung di Saluran 802 Astro Arena.

“Ini adalah kali pertama Tri-Siri disiarkan secara langsung. Ia akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di Malaysia untuk menonton perlawanan itu,” katanya.

Selepas aksi di Nepal itu, Malaysia akan berentap dalam Kejohanan Polo Club yang julung kali diadakan, sebagai Cricket Malaysia President's XI, di Bhairahawa, Nepal dari 8-16 April ini.

Kejohanan itu akan turut disertai pasukan Liga Premier seperti India, Nepal dan Bangladesh.

- Bernama