Kabinet lulus RM240 juta untuk Program Podium
Berita gembira buat arena sukan negara apabila jemaah menteri hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM240 juta untuk pelaksanaan Program Podium bermula 2022-2025.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan perkara itu berkata beliau yakin peruntukan sebanyak RM60 juta setahun itu mampu membantu mempersiapkan kontinjen negara menghadapi beberapa temasya utama bermula tahun ini, sekali gus meningkatkan kecemerlangan sukan kebangsaan.
Antara temasya utama bakal dihadapi dalam tempoh peruntukan tersebut ialah Sukan SEA Hanoi bermula 12-23 Mei ini, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos), Sukan Asia Hangzhou (10-25 Sept), Sukan Para Asia (Oktober) serta Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Beliau berkata beberapa atlet Program Podium yang digugurkan atau tidak disambung kontrak kerana kekangan kewangan pada awal tahun ini, berpeluang ditawarkan kontrak baharu jika masih berpotensi untuk menyumbang pingat buat negara.
“Kita mendengar keluhan daripada para atlet yang ditamatkan kontrak, pencinta sukan tanah air dan kepimpinan persatuan sukan. Saya telah bawakan perkara ini ke Jemaah Menteri dan alhamdulillah mereka telah meluluskannya, insya-Allah kita kaji semula kontrak yang akan ditamatkan sebelum ini.
“Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya satu butiran projek baharu diwujudkan bagi Program Podium di bawah Peruntukan Pembangunan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Perkara ini akan disusuli dengan (dikemukakan kepada) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Menara KBS di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Faizal berkata kepimpinan tertinggi kementerian akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perancangan perbelanjaan itu, antara lain cadangan mengenai penekanan khusus kepada sukan-sukan berpotensi besar untuk menyumbang pingat buat negara di temasya utama.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN sebelum ini terpaksa mengecilkan jumlah atlet Program Podium bagi mengurangkan perbelanjaan kerana program itu tidak mendapat peruntukan dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober lepas.
Sementara itu, Ahmad Faizal mengesahkan bahawa Jemaah Menteri juga telah meluluskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2022 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi konsep gelembung sukan yang akan dikendalikan oleh KBS sendiri melalui MSN.
Beliau berkata penganjuran Sukma dan Para Sukma perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan dan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal menggantikan atlet di peringkat kebangsaan pada masa hadapan.
Dengan jangkaan sebanyak 12,000 orang menyertai edisi kali ini, Ahmad Faizal berkata penganjuran akan dilakukan mengikut dua fasa bagi Sukma dan Para Sukma untuk memastikan bilangan atlet dan pegawai terlibat pada satu-satu masa tidak terlalu ramai.
“Kos penganjuran dianggarkan antara RM35-RM40 juta...Penganjuran ini akan menggunakan kemudahan sedia ada yang digunakan semasa penganjuran Sukan SEA 2017 serta kemudahan milik KBS dan fasiliti kerajaan.
“Perincian lain seperti tarikh, jenis sukan dan jumlah acara akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma. Kita jangka temasya ini diadakan pada pertengahan tahun ini atau separuh kedua tahun ini, perlu teliti dulu kerana jadual tahun ini padat dengan pelbagai acara,” jelasnya.
Kali terakhir Sukma diadakan adalah pada 2018 di Perak, manakala Sukma 2020 yang sepatutnya diadakan di Johor, terpaksa ditangguh beberapa kali berikutan pandemik COVID-19.
Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Oktober 2021 bersetuju menangguhkan Sukma Johor hingga tahun 2024, dan memutuskan supaya MSN menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Kuala Lumpur tahun ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai