Legenda, bekas pemain teruja sasaran JDT di pentas ACL
Sasaran juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk beraksi pada pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menarik perhatian beberapa legenda bola sepak tanah air dan bekas pemain Johor.
Selepas JDT hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada kempen terdahulu, bekas penyerang Johor era 80-an Fadzli Ahmad merasakan 2022 adalah waktu yang tepat untuk skuad Harimau Selatan mengatasi pencapaian itu.
Fadzli yang memenangi dua kejuaraan Piala Malaysia bersama Johor pada 1985 dan 1991 tidak terkejut sekiranya JDT berjaya melepasi saingan kumpulan memandangkan juara Piala AFC 2015 itu mempunyai potensi serta kelebihan tersendiri musim ini.
Menurutnya, kelebihan terbesar JDT adalah beraksi di laman sendiri selepas Johor Bahru dipilih sebagai tuan rumah bagi kesemua perlawanan Kumpulan I yang akan berlangsung dari 15 April hingga 1 Mei depan.
"Selain itu JDT diperkuatkan dengan kehadiran pemain baharu yang bagus dan juga telah menjalani sesi latihan pramusim di Dubai dengan baik, tetapi untuk berdepan pasukan-pasukan gergasi Asia mereka juga kena sentiasa berusaha lebih kuat," katanya kepada Bernama.
Fadzli berkata sebagai anak Johor beliau sememangnya menaruh harapan tinggi untuk melihat JDT terus mengukir kejayaan di pentas antarabangsa sekali gus secara tidak langsung dapat mengangkat lagi martabat bola sepak di negeri itu.
Ahad lepas, JDT mengumumkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan ACL 2022 sekali gus berpeluang melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati kejohanan itu buat julung kali pada penampilan keempat mereka sejak debut pada musim 2019.
JDT diundi dalam Kumpulan I saingan ACL 2022 bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, juara lapan Kali Liga Super China Guangzhou FC dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).
Lima muka baru
Musim ini JDT diperkuatkan dengan lima muka baharu iaitu pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Syahmi Safari, bekas penyerang beraksi di Liga Itali dan Liga Perdana Inggeris Fernando Forestieri, Bienvenido Maranon (penyerang), Carli de Murga (pertahanan) dan pemain sayap Moussa Sidibe.
Sementara itu, bekas penggempur utama skuad Sukan Olimpik Moscow 1980 Datuk Hassan Sani berharap JDT mampu mencapai sasaran ditetapkan sekali gus mencipta rekod membanggakan buat peminat bola sepak tanah air khususnya penyokong Johor.
Beliau yang juga bekas penyerang prolifik Sabah turut berharap satu hari nanti skuad Sang Badak mampu mengikut jejak langkah JDT dengan membuat kemunculan di pentas ACL.
"Lagi banyak pasukan (tempatan) lagi bagus, lagi meriah...bila lagi kita nak bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik Asia di pentas tertinggi, takkan kita nak bersaing dalam Malaysia saja, itu lah gunanya ada Liga Juara-Juara,” kata Hassan.
Dalam pada itu, legenda Selangor Khalid Ali menjangkakan JDT tidak berdepan masalah melangkah ke peringkat seterusnya dengan berbekalkan barisan pemain berkualiti yang mencapai standard kejohanan itu.
Bagaimanapun beliau mengingatkan cabaran sengit bakal dihadapai terutama dari pasukan gergasi bola sepak Asia, dan keadaan itu memerlukan pemain sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk sebarang kemungkinan.
"JDT akan bersaing dengan pasukan-pasukan hebat terutama dari China...pemain China antara yang terbaik di Asia tetapi sebagai wakil tunggal Malaysia, kemaraan JDT dapat mengangkat imej dan maruah bola sepak negara,” katanya.
Selain menyasarkan melepasi peringkat kumpulan ACL 2022, JDT turut meletakkan sasaran berada di kedudukan empat teratas Liga Super dan suku akhir Piala Malaysia musim ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai