Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gaji Greenwood tetap 'mengalir' walau sedang ditahan polis

Mason Greenwood memang sedang ditahan polis. Dia juga digantung daripada bermain dengan kelabnya, Manchester United.

Tidak cukup dengan itu, beberapa penaja pula sama ada sudah menggantung kontrak mereka atau dalam proses membuat penilaian semula. Semuanya gara-gara kes dia didakwa melakukan serangan seksual dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita.

Pun begitu, ketika dia mendekam dalam lokap polis England, Greenwood, 20, koceknya terus mengalir laba. Setakat ini gajinya - £75,000 (RM423,813) seminggu, atau kira-kira RM 1.7 juta sebulan - daripada kelab yang diwakilinya terus mengalir.

Penyerang MU itu ditahan polis semalam selepas dakwaan mengenai perlakuan ganasnya muncul di media sosial.

Menurut media England, sumber memberitahu gaji berkenaan akan dibayar kepada Greenwood sehinggalah keputusan mengenai siasatan ke atasnya selesai dan didapati melakukan sebarang kesalahan.

Sebelum ini MU mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang perlakuan keganasan. Mereka juga mengesahkan Greenwood tidak akan hadir untuk sebarang latihan atau perlawanan.

Penggantungan itu, kata kelab berkenaan, akan berkuat kuasa sehingga ada pengumuman baru dibuat mengenainya.

Semalam Greenwood menghabiskan masa semalaman dalam lokap polis selepas pihak berkuasa menyerbu dan memberkasnya di Bowdon, Greater Manchester. Dia berada di rumah ketika itu.

Van penyiasat juga kelihatan ada di luar kediaman Greenwood.

Bintang muda England dan MU itu mungkin berdepan laluan suram jika akhirnya dia dituduh atas sebarang kesalahan keganasan.

Sebelum ini nama Greenwood menyinar di atas padang dengan prestasinya yang cemerlang, termasuk menjaringkan lima gol untuk MU dan satu dalam persaingan Liga Juara-juara setakat ini.

Greenwood menyertai MU seawal usianya enam tahun.