Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sim guna gaji sebulan borong kraftangan bekas atlet paralimpik

Bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim mengajak orang ramai menyokong perniagaan kecil-kecilan bekas atlet renang paralimpik negara Koh Lee Peng yang kini berniaga produk kraftangan orang kurang upaya (OKU) di kaki lima di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sim yang bertemu Koh sewaktu sesi rehat sidang Parlimen berkata antara barangan yang dijual merupakan bekas penyimpan tisu, beg tisu, loket dan anting-anting.

“Terjumpa Lee Peng sedang gigih berniaga di bawah terik matahari kat Jalan Bukit Bintang.

“Lee Peng kata masih ingat saya, tapi dia kata saya sudah kurus.

“Saya tahu Lee Peng sebenarnya ingin tumpukan tenaga buat bisnes sendiri. Ini bukan perkara yang memalukan. Dia nak cari rezeki halal,” kata Sim dalam satu hantaran Facebook yang turut memuat naik gambarnya bersama Koh.

Kisah Koh menjadi perhatian selepas seorang pengguna Twitter menceritakan kehidupan pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan Para Asean dari 2001 hingga 2005 itu, selepas bertemunya berniaga di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini.

Sim yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam turut berkata bahawa sebelum ini pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menawarkan Koh pekerjaan lain, namun Koh bertekad untuk meneruskan perniagaannya.

Katanya, semua pihak harus menghormati keputusan Koh tanpa menghinanya.

“Lee Peng wira negara nak buat bisnes kita jangan nak hina atau kecam. Kalau betul nak bantu, mari kita sokong bisnesnya.

“Hari ini, saya borong semua produk kraftangan yang dia jual. Ada tisu cover, ada beg tisu, ada pendant, ada anting-anting.

“Semua hasil tangan OKU, semuanya cantik-cantik. Saya beli semua, harga keseluruhan RM17,115.00 tapi dia kasi diskaun, kira saya RM17,000 - gaji sebulan saya.

“Ini boleh bantu Lee Peng pusing sikit modal untuk perniagaannya,” kata Sim lagi.

Sim turut berkongsi pautan kedai dalam talian Koh bagi menyatakan sokongannya terhadap Koh 

“Jujur kata, saya pun tak ada akaun Shopee, tapi saya setup akaun untuk Lee Peng supaya dia senang nak buat bisnes.

“Lebih sejam setengah saya tekan-tekan handphone dia kat tepi jalan tu nak cari jalan setup Shopee. Akhirnya jadi juga,” katanya.