Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Piala AFF: Malaysia kalahkan Kemboja 3-1

Malaysia menepati ramalan untuk membenam Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B, saingan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura petang ini.

Skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang untuk menguasai perlawanan bagi meraih tiga mata berharga, walaupun menghadapi serangan balas mencemaskan dari Kemboja.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-154 dunia, terlebih dahulu melakukan percubaan apabila tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua, hasil daripada sepakan percuma Safawi Rasid, sedikit tersasar ke atas palang gol.

Pemain sayap negara, Safawi kemudian melakukan rembatan kencang dari jarak lebih kurang 18 meter tepat ke penjuru kanan gawang, namun penjaga gawang Keo Soksela tangkas menyelamatkan percubaan itu pada minit ketujuh.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti kaki kiri Safawi ke bahagian kanan gawang, yang memperdayakan Keo ke arah bertentangan.

Malaysia dihadiahkan penalti oleh pengadil Shukri Hussain Alhunfush, apabila Ken Chansopheak mengasari Muhammad Akhyar Abdul Rashid di dalam kotak penalti, yang turut menyebabkan tonggak pertahanan skuad ‘Angkor Warriors’ itu dilayangkan kad kuning.

Kemboja, di bawah kendalian bekas pemain Jepun Ryu Hirose, mencari gol penyamaan menerusi serangan bertali arus, namun barisan pertahanan negara, terutamanya penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat bertindak baik bagi mematahkan semua serangan pasukan lawan untuk kekal mendahului sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia berjaya melebarkan jurang menerusi Muhammad Akhyar, yang menerima hantaran jauh cantik daripada Syafiq dan memperdayakan dua pemain pertahanan Kemboja, sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60.

Anak-anak buah Cheng Hoe, terus menambah derita buat Kemboja, apabila pemain gantian M. Kogileswaran Raj meledak masuk hantaran silang pendek Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79.

Skuad ‘Angkor Warriors’ yang menghuni ranking ke-170 dunia, mempamerkan kebangkitan menerusi jaringan penalti Sath Rosib pada minit ke-90.

Terdahulu, Khairul Fahmi dipersalahkan dan dilayangkan kad kuning kerana menendang Sath ketika menangkap bola hantaran tinggi di dalam kotak penalti.

Kemenangan itu sekali gus membantu Malaysia, juara edisi 2010, mengekalkan rekod tanpa kalah terhadap Kemboja dalam saingan Piala AFF, selepas mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga aksi dalam saingan itu sejak 2000.

Selain menjadi tonik buat skuad Harimau Malaya yang terpaksa turun tanpa khidmat penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain tengah Faisal Halim, yang dikuarantin kerana positif COVID-19 pada Jumaat lepas, kemenangan itu juga memastikan Malaysia tidak keciciran mata sebelum dua aksi terakhir yang sukar.

Skuad Harimau Malaya selepas ini dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir 19 Dis ini, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

- Bernama