Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangan kata derhaka, di padang bola, kita sama rata - Sanusi

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan beberapa hantarannya di media sosial dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai kenyataan antara dua pemimpin pasukan bola sepak, bukan antara rakyat dan anak raja.

Kata Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu, di padang, semua orang sama rata, dan oleh itu dia berharap tiada pihak mengambil hati apabila dia berbalas kenyataan dengan Tunku Ismail yang merupakan presiden bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Di padang bola ni, kita sama rata.

“Ini ada orang pertikai kata cakap dengan anak raja macam tu macam ni, saya kata saya bukan bercakap dengan anak raja, saya bercakap dengan pemilik JDT. Saya presiden KFA.

“Jangan kata saya derhaka pula. Main bola apa kira derhaka tak derhaka? Kalau tak, nak score (jaringkan) gol kena angkat sembah dulu, mampuih (mampus) la kita, nak lawan macam mana, kan?

“Main bola cara bolalah. Janganlah ambil hati pula. Padang bola adalah padang bola. Jangan heret bola masuk istana,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita, menjelaskan tentang pemindahan bekas seorang pemain Kedah ke JDT, yang katanya masih belum dibayar sehingga sekarang.

Balas-membalas kenyataan antara kedua-dua mereka bermula dengan sindiran Tunku Ismail berhubung isu tunggakan gaji pasukan Kedah, yang mempersoalkan apakah ia hanya akan dibayar jika bertemu dengan JDT.

Perkara itu dinafikan Sanusi pada sidang media sebelum ini dan berkata, bahawa Kedah akan membayar gaji pemainnya.

Namun isu itu berlarutan di media sosial.

Meskipun Tunku Ismail kemudian mengirimkan belon, bunga dan set makanan segera McDonald's kepada Sanusi, ia bersama sindiran di Instagram bahawa ini adalah “satu cara untuk memastikan badut gembira”.

Sanusi pula menjawab di Facebook bahawa cekodok pisang dan cekodok bilis kucai tetap menjadi pilihannya berbanding “burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar."

Kiriman itu diterima Sanusi sehari selepas Kedah Darul Aman (KDA) dan JDT seri tanpa jaringan dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.

Malam ini, kedua-dua pasukan akan melangsaikan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pula.

Sanusi tidak ketinggalan meluahkan harapannya agar KDA akan dapat menumpaskan pasukan JDT di halaman pasukan lawan.