Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KBS tak lindung salah laku libat maruah, keselamatan atlet

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah melindungi sebarang salah laku melibatkan atlet, jurulatih, pegawai atau kakitangannya, terutamanya dalam isu melibatkan keselamatan dan maruah atlet.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ti Lian Ker berkata mangsa kejadian seperti itu, tidak kira wanita atau lelaki adalah diseru untuk membuat aduan, dengan jaminan akan diberikan perlindungan sewajarnya.

“Malah, kita juga telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku dan Gangguan Dalam Sukan pada tahun 2020, untuk memastikan pengurusan aduan sukan prestasi tinggi negara dikendalikan dengan cekap, teratur dan berkesan.

“Selain itu, terdapat juga talian telefon aduan 24 jam dan peti aduan di lokasi strategik termasuk di tempat penginapan, untuk mangsa membuat aduan kerana keselamatan, terutamanya atlet sepanjang menjalani latihan adalah keutamaan,” katanya.

Ti berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Majlis Belia dan Sukan Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

Beliau berkata setiap aduan juga diambil perhatian dan tindakan serius bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang, selain adalah kewajipan KBS untuk mewujudkan persekitaran selamat untuk semua pihak.

Mengulas mengenai kejadian yang didedahkan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menerusi ciapan di akaun Twitter semalam, Ti berkata jurulatih tersebut telah ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta manakala ketua jurulatih yang didakwa melindungi kejadian itu tidak disambung kontrak.

Semalam, Pandelela mendakwa bekas jurulatihnya gemar membuat lawak lucah sebelum individu itu berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lepas.

- Bernama