‘Mereka semua kena bertanggungjawab, ini kecuaian’
Hampir mustahil untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengubah keputusan acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kejayaan gemilang jaguh kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli ‘dirompak’.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berpendapat sukar bagi IPC untuk merombak keputusan tersebut, selain jawatankuasa itu perlu menghormati peraturan Olahraga Para Dunia (WPA).
“Peraturan adalah peraturan. Peraturan dan undang-undang dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar,” katanya kepada Bernama.
“Takkan mereka (IPC dan WPA) nak longgarkan peraturan hanya untuk menyelesaikan kes Malaysia, pada awalnya kenapa kita tidak mengikut peraturan ditetapkan,” tambah Zolkples yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.
Beliau berkata berhubung pembatalan pingat emas dimenangi Muhammad Ziyad pada temasya berprestij itu, kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia tidak seharusnya menyalahkan pasukan Ukraine, sedangkan mereka mempunyai hak untuk melakukan bantahan.
“Keseluruhan kontinjen, daripada CDM (chef-de-mission) ke urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih, mereka semua kena bertanggungjawab. Ini satu kecuaian bagi saya dan kecuaian yang tidak boleh diterima. Sepatutnya mereka menjaga atlet, Muhammad Ziyad tidak sepatutnya dipersalahkan,” katanya.
Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.
Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Semalam, WPA menolak rayuan dikemukakan Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA sejurus temasya berakhir.
Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.
Difahamkan, ketika kejadian di Stadium Olimpik Tokyo, hujan turun selain keadaan kawasan sesak dengan atlet yang bertanding dalam acara lain menyaksikan Muhammad Ziyad bersama atlet dari Ecuador dan Australia terhalang untuk memasuki bilik menunggu dan didakwa lewat beberapa minit melaporkan diri.
Sementara itu, Zolkples berharap insiden tersebut menjadi pengajaran paling berguna kepada setiap pegawai kontinjen negara supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.
“Tidak kira Paralimpik atau Olimpik, jadikan ini sebagai pengajaran supaya tidak ambil mudah perkara macam ini. Bukannya susah pun menjalankan tugas, pergi mengikut pasukan bukannya nak bersuka ria.
“Ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau Sukma (Sukan Malaysia). Ini Paralimpik temasya yang tertinggi, sepatutnya tidak boleh jadi (insiden) macam ini,” katanya.
Beliau berkata sewaktu menggalas tugas selaku Ketua Kontinjen ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012, beliau mengarahkan pegawai pengiring untuk memastikan atlet berada di venue pertandingan dua jam awal sebelum acara bermula sebagai persediaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai